Pengurus cuba merasuah renjer didenda RM20,000

0

KUANTAN: Seorang pengurus syarikat pembalakan semalam, didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku salah terhadap pertuduhan pilihan cuba memberi rasuah kepada seorang renjer perhutanan pada Oktober tahun lalu.

Hakim Habibah Mohamed Yusof juga memerintahkan tertuduh Pee Hong Seng, 40, dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda itu. Tertuduh membayar denda itu.

Pee didakwa cuba memberi rasuah RM10,000 kepada renjer Dahalan Yusof yang bertugas di Unit Penguatkuasaan Pahang Barat, Rotan Tunggal di Raub pada 6 petang, 22 Okt lalu di bilik 106, Hotel Inderapura, Jerantut.

Suapan itu ditawarkan sebagai dorongan supaya Dahalan tidak menahan atau mengambil tindakan ke atasnya bagi kesalahan memindahkan dan mengeluarkan kayu balak atau hasil hutan dari tanah rizab.

Tertuduh yang beralamat di Segamat, Johor ditangkap pada 22 Okt lalu, kira-kira lima jam selepas Dahalan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pee didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya hukuman denda yang rendah diberikan atas alasan dirinya sudah tiga bulan tidak bekerja dan perlu menanggung seorang isteri dan empat orang anak yang masih bersekolah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Syafinas Shabudin.

Mengikut fakta kes, tertuduh mahu memberi suapan itu selepas seorang pekerja syarikat pembalakan itu didapati menebang pokok di luar kawasan lesen, tetapi Dahalan menolaknya. — Bernama