Jangan diskriminasi pengagihan projek kepada kontraktor Kelas F, kata Naroden

0
SIMBOLIK: Naroden menukul batu ais sebagai simbolik perasmian seminar sambil disaksikan Abang Helmi (empat kiri) serta Pengerusi Dewanita Sarawak Juita Drap (tiga kiri) dan yang lain.

SIMBOLIK: Naroden menukul batu ais sebagai simbolik perasmian seminar sambil disaksikan Abang Helmi (empat kiri) serta Pengerusi Dewanita Sarawak Juita Drap (tiga kiri) dan yang lain.

KUCHING: Agensi pelaksana  termasuk Pejabat Residen dan Pejabat Daerah diminta tidak mendiskriminasi pengagihan projek kepada kontraktor Kelas F sama ada di bawah kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais berkata, Kelas F yang terdiri daripada Unit Pendaftaran Kontraktor (kerajaan negeri) dan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) harus disamaratakan pengagihan projek termasuk projek kecil luar bandar.

Menurutnya meskipun projek yang dilaksana daripada kerajaan pusat namun kontraktor Kelas F UPK (Sarawak) boleh menyertainya begitu juga sebaliknya jika ia projek daripada kerajaan negeri Kelas F daripada PKK boleh turut serta.

“Malahan perkara ini telah diluluskan sendiri Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) pada tahun 2011 dan tahun 2013 agar kedua-dua kontraktor Kelas F mendapat pengagihan sama.

“Kita menyeru kepada Pejabat Residen atau Pejabat Daerah khasnya sebagai agensi pelaksana bagi projek kecil luar bandar agar memberi projek kepada kedua-dua kontraktor walaupun projek daripada persekutuan atau negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Mengenai Kesan Ekonomi dan Peluang-Peluang Dalam Pembinaan dan Industri Berkaitan di Sarawak anjuran Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) dan dihadiri Presiden DUBS Datu Abang Helmi Ikhwan di sini, semalam.

Tambah Naroden, gesaan itu juga dibuat memandangkan pada tahun ini banyak projek yang diterima akan dilaksanakan oleh pejabat residen atau pejabat daerah.

Selain itu ia kata beliau, termasuk projek Lebuh Raya Pan Borneo yang mana kerajaan pusat juga boleh membantu dengan mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) pusat membuat formula agar setiap pakej projek dapat diagihkan kepada kontraktor.

Sementara itu dalam ucapannya, beliau menggesa usahawan Bumiputera termasuk daripada bidang pembinaan agar mengambil peluang mempertingkatkan lagi kemahiran mereka sebagai budaya.

“Dengan kemahiran itu ia menjadikan kerja kita lebih baik dan mendatangkan keyakinan kepada pelanggan selain meletakkan kita lebih tinggi berbanding yang lain atau berdaya saing.

“Malahan apabila kita sudah ada keyakinan daripada pelanggan atau klien ini, dengan itu kita tidak perlu lagi memberi atau sub tender kita kepada yang lain,” tegasnya.

Sementara itu Abang Helmi dalam ucapannya menegaskan kepada ahli DUBS yang terlibat dalam bidang pembinaan agar menyiapkan dan menyampaikan projek tepat pada waktunya bagi mengelakkan sebarang masalah timbul.

“Untuk melakukan perkara ini anda (kontraktor) perlu mengambil atau melatih pekerja berkelayakan bagi memastikan anda dapat mengekalkan perkhidmatan yang baik dalam aspek  perniagaan ini.

“Jika anda selalu lewat dalam menyampaikan atau menyiapkan projek peluang untuk anda kekal dalam bidang ini tidak akan lama,” katanya.

Abang Helmi mendedahkan bahawa kini pendaftaran kontraktor Bumiputera bersama CIDB di Sarawak amat memberangsangkan terutama bagi kategori Kelas F selain pendaftaran positif kontraktor Bumiputera Gred G7 dengan CIDB.

DUBS sahaja lebih daripada 150 kontraktor Bumiputera dengan Gred lesen G7.