Saturday, June 6

Mahkamah Rayuan bebaskan pemandu teksi atas tuduhan memiliki senjata api

0

PUTRAJAYA: Seorang pemandu teksi yang dikaitkan dengan kes pembunuhan pengasas Kumpulan Perbankan Arab-Malaysian (Ambank) Hussain Ahmad Najadi, dibebaskan semalam selepas dia berjaya dalam rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara atas tuduhan memiliki senjata api pistol, kelopak dan peluru hidup.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif membenarkan permohonan Chew Siang Chee, 47, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun.

“Kami telah mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak. Kami sebulat suara bersetuju dengan peguam Chee, Hisyam Teh Poh Teik, bahawa inti pati pertuduhan yang dihadapi Chee tidak dibuktikan,” kata Md Raus.

Panel itu turut dianggotai Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Varghese George Varughese dan Datuk Zamani A. Rahim.

Chee, yang memakai pakaian penjara berwarna biru gelap, berdiri dengan tenang di kandang tertuduh mendengar keputusan itu. Dia kelihatan kebingungan selepas keputusan itu diumumkan sehingga dimaklumkan oleh peguamnya bahawa dia telah dibebaskan dan boleh pulang ke rumah.

Anggota keluarga Chee, yang duduk di galeri awam dilihat menangis termasuk isterinya, Ang Yah Ying, 38.

Selepas prosiding itu, seorang pegawai penjara membuka gari di tangan Chee, dan dia terus ke tempat isterinya, memeluk beliau dan anggota keluarganya yang lain sebelum pegawai penjara membawa dia keluar dari mahkamah untuk dibawa ke Penjara Kajang bagi menyelesaikan beberapa dokumen sebelum dibebaskan semalam.

Chee, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi kesalahan memiliki pistol Walther dan penjara empat tahun bagi kesalahan memiliki kelopak dan empat butir peluru hidup.

Dia diperintah menjalani hukuman penjara itu secara berasingan.

Chee didapati bersalah melakukan kesalahan itu di Kondominium Desa Cindaimas di Jalan Kuchai Lama, pada 5.45 petang, 3 Ogos 2013.

Mahkamah Tinggi pada 1 Okt tahun lepas, mengekalkan sabitan dan hukuman Chee tetapi memerintahkan dia menjalani hukuman penjara itu secara serentak dari tarikh dia ditangkap mulai 30 Julai 2013.

Terdahulu, Hisyam berhujah bahawa bukti menunjukkan Chee mengetahui senjata api itu berada di dalam peti surat, tetapi pihak pendakwaan gagal membuktikan dia mempunyai jagaan dan kawalan terhadap senjata tersebut memandangkan dia (Chee) tidak memiliki kunci peti surat.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin yang menjalankan pendakwaan, berhujah Chee mengetahui mengenai senjata itu dan berdasarkan inferens, dia mempunyai jagaan dan kawalan mengenainya.

Hussain, 76, maut manakala isterinya cedera parah selepas ditembak ketika mereka keluar dari kawasan Tokong Kuan Yin di Lorong Ceylon di Kuala Lumpur pada 29 Julai 2013.

Pada hari kejadian, Chew membawa Koong Swee Kuan, seorang penarik kereta, yang telah dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah membunuh Hussain. — Bernama