MPSS puji keseriusan pihak berkuasa

0

Menggempur ‘kawasan panas’ tindakan berkesan untuk menangani PATI

KOTA KINABALU: Majlis Permuafakatan Suluk Sabah (MPSS) memuji keseriusan pihak berkuasa khususnya polis Sabah dalam melakukan operasi menggempur ‘kawasan panas’ dan menahan sejumlah besar pendatang asing tanpa izin (PATI), di sebuah penempatan setinggan, kelmarin.

Setiausahanya Mohd Zaki Harry Susanto berkata operasi besar-besaran tersebut juga merupakan satu amaran keras kepada dalang jenayah yang selama ini berasa cukup selamat dan bergerak bebas di negeri Sabah.

“MPSS menyokong penuh operasi berskala besar ini kerana ia adalah pendekatan yang sangat efektif. Sudah tiba masanya pihak berkuasa menggunakan kekerasan supaya isu PATI dan dalang jenayah boleh ditangani dengan lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejayaan polis menahan enam individu yang dipercayai menjadi dalang penyaluran maklumat dan bantuan kepada penjenayah asing serta 514 PATI dalam operasi bersepadu di sebuah penempatan setinggan berhampiran pekan Telipok dekat sini, kelmarin.

Mohd Zaki berkata semasa operasi itu agensi pertahanan dan penguat kuasa menjalankan tugas dengan profesional.

“Kami tidak menerima sebarang laporan kejadian penganiayaan atau kekerasan yang berlebihan khususnya melibatkan etnik Suluk kerana hanya mereka yang tidak menghormati dan melanggar undang-undang negara dikenakan tindakan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zaki menyeru agar semua warga Suluk tempatan Sabah  memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa semasa operasi seperti itu dijalankan.

“Masyarakat Suluk tempatan Sabah diharap terus menyokong usaha murni ini demi kedaulatan negeri dan negara kita.

“MPSS juga berharap operasi seperti itu dapat dilaksanakan di ‘kawasan panas’ lain di seluruh Sabah. Kami mahu semua dalang jenayah dibawa ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman setimpal,” katanya. — Bernama