Ubah mentaliti, sikap hadapi arus pemodenan

0

Penduduk perlu bersatu tangani cabaran yang boleh mengundang masalah sosial dalam kampung

// Oleh Harry Ilias //

KUCHING: Penduduk kampung perlu mengubah mentaliti dan sikap dalam mendepani arus pemodenan zaman.

Demikian tegas Pegawai Daerah Samarahan Mohd Ainnie Wahab pada penutupan Program Khidmat Masyarakat Kampung Baru, Kota Samarahan di Masjid Darul Naim, Ahad lepas.

Bercakap mewakili Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang, Ainnie berkata penduduk kampung perlu bersatu menangani cabaran dari luar yang boleh mengundang masalah sosial dalam kampung.

Justeru katanya, Program Khidmat Masyarakat Kampung Baru itu dilihat satu inisiatif yang amat baik dalam menyemai budaya saling bantu-membantu dan sikap bertanggungjawab di kalangan penduduk di kampung berkenaan.

Program selama sehari itu dianjurkan oleh Kelab Pejabat Perdana Menteri (Kelab PMO) dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru, Jawatankuasa Pengurusan Masjid & Surau Kampung Baru dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Kampung Baru.

“Tahniah kepada penganjur kerana menganjurkan satu program yang cukup baik dalam usaha kita menerapkan nilai murni di kalangan penduduk kampung ini.

“Saya percaya program sebegini akan membantu melahirkan masyarakat yang lebih bertanggungjawab dan modal insan yang dapat menyumbang kepada negeri ini suatu hari nanti,” katanya.

Jelasnya lagi, program seumpama juga akan mewujudkan suasana kekitaan di kalangan penduduk kampung yang akan menjadi tunjang kepada perpaduan kampung serta membantu memajukan lagi kampung berkenaan.

Pelbagai aktiviti sampingan dilaksanakan sebagai pengisian program, antaranya gotong-royong di kawasan kampung selain Masjid Darul Naim dan Surau Darul Salam.

Hadir sama Ketua Pemuda PBB Ranting Kampung Baru Ismawi Muhammad, Naib Presiden Kelab PMO Datuk Rozilan Salleh, Temenggung Samarahan Chek Bujang dan Penghulu Kampung Baru Sunip Adis.