Kerajaan tangguh kemasukan pekerja asing termasuk Bangladesh

0

// Oleh Jessica Jawing //

KOTA SAMARAHAN: Kerajaan menangguhkan pengambilan semua pekerja asing ke negara ini termasuk Bangladesh.

Mengumumkan perkara itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penangguhan dibuat kerajaan bagi meneliti semula keputusan pembayaran levi dua tahap.

“Pada hari ini saya mengumunkan bahawa kerajaan mengambil keputusan untuk melakukan penangguhan pekerja asing dari semua negara termasuk Bangladesh.

“Penangguhan akan dilakukan sehingga kerajaan berpuas hati terhadap keperluan sebenar sebagaimana yang dikehendaki industri,” katanya pada sidang media selepas Majlis Mesra Timbalan Perdana Menteri bersama Anggotq Tentera di Kem Muara Tuang di sini, hari ini.

Tambah Ahmad Zahid, kerajaan akan melakukan penguatkuasaan untuk menentukan tidak ada pekerja asing dibawa ke Malaysia.

Katanya pekerja asing yang melebihi tempoh tinggal di negara ini akan ditangkap dan dihantar pulang ke negara masing-masing.