‘Demam’ bina badan bermula

0
IDOLA: Gambar fail menunjukkan aksi daripada Awang Mohamad Azizul Ghani, wakil Kuching yang telah dinobatkan sebagai ‘Juara Antara Juara’ pada edisi Mr Malaysia tahun lepas.

IDOLA: Gambar fail menunjukkan aksi daripada Awang Mohamad Azizul Ghani, wakil Kuching yang telah dinobatkan sebagai ‘Juara Antara Juara’ pada edisi Mr Malaysia tahun lepas.

Tirai pertandingan tahun ini disingkap dengan dua acara di Miri minggu depan

KUCHING: Sukan bina badan Sarawak akan membuka tirainya tahun ini dengan dua acara di Miri minggu hadapan.

Pada 28 Februari, Miri Auto Event akan bekerjasama dengan Persatuan Bina Badan Bahagian Miri (PBBBM) dalam mementaskan Mr Fitness Meet and Greet 2016 bertempat di Padang Majlis Bandaraya Miri, bermula jam 1 petang.

Ini diikuti dengan pertandingan Mr 360 Miri 2016 pada 6 Mac bertempat di Bintang Megamall Miri, yang akan berlangsung dari jam 1 petang hingga 6 petang.

Seterusnya, acara peringkat zon akan dimulakan dengan Mr Kuching 2016 pada 26 Mac di Plaza Merdeka, anjuran Persatuan Bina Badan Negeri Sarawak (SBBA) dengan kerjasama Kuching Supplements, Iron Hardcore Gym dan Kuching Clean Food.

Pada 9 April, Persatuan Bina Badan dan Angkat Berat Bahagian Sibu (SDBWA) akan mempersembahkan acara Mr Sibu di Sing Kwong Hypermarket, manakala pada acara Mr Miri 2016 anjuran PBBBM akan diadakan pada 17 April di Imperial Permaisuri Mall.

“Bagi Zon Kuching, kami mengalu-alukan penyertaan daripada para penggiat bina badan dari Kuching, Serian, Bau, Lundu, Sematan, Samarahan, Sri Aman dan Betong; bagi Zon Sibu, mereka dari Sibu, Kapit, Sarikei, Saratok, Rajang dan Kanowit; manakala Zon Miri, mereka dari Miri, Bintulu, Limbang, Lawas dan Baram.

“Mereka yang terpilih akan mewakili zon masing-masing di acara peringkat negeri, iaitu Mr Sarawak 2016 pada 23 April, bertempat di Dewan Suarah Sibu,” kata Setiausaha Kehormat SBBA, Andy Ismail.

Kategori-kategori yang akan dipertandingkan adalah Junior (21 Tahun ke Bawah), Masters (45 Tahun ke Atas), Flyweight (Bawah-60kg), Bantamweight (60.1-65kg), Lightweight (65.1-70kg), Welterweight (70.1-75kg), Light Middleweight (75.1- 80kg), Middleweight (80.1- 85kg) and Light Heavyweight (85.1-90kg).

Menurut Andy, kemuncak segala acara ini adalah Kejuaraan Bina Badan Mr Malaysia 2016 pada 20 hingga 23 Mei, di mana Sibu akan menjadi tuan rumah bagi edisi ke-47 kali ini.

Beliau mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan para atlet mengenai ujian penggunaan bahan terlarang, di mana ia akan dikuatkuasakan secara sepenuhnya.

“Kita berharap agar pencapaian Sarawak kali ini bebas 100 peratus daripada sebarang kontroversi, termasuklah penggunaan bahan terlarang.

Ini penting dalam menjaga reputasi kita sebagai perangkul juara keseluruhan Mr Malaysia selama dua tahun berturutturut.

“Semestinya, kita idamkan untuk meraih gelaran ini buat kali ketiga, sekali gus berusaha untuk menjadi tuan rumah yang terbaik,” tegas beliau.

Penyertaan untuk semua pertandingan masih terbuka.

Untuk maklumat lanjut mengenai acara di Kuching, hubungi Andy menerusi talian 012-886 2220/George Awi (019-819 9375)/Lim Kok Soon (012-809 1331).

Untuk acara di Sibu, hubungi Sibu Gym (013-801 1015), manakala mereka yang ingin bertanya mengenai acara di Miri boleh merujuk kepada Presiden PBBBM, Jamilah Ibrahim (016-774 8030).