Rayong ikrar terus perkasa pendidikan DUN Engkilili

0

SKRANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa berikrar akan terus memperkasa pendidikan sebagai agenda utama beliau sejak dipilih semula sebagai wakil rakyat  sehingga hari ini.

Menurut beliau, hanya melalui pendidikan sempurna berupaya mengangkat kualiti kehidupan pelajar dan keluarga di kemudian hari.

“Hanya pendidikan sempurna dapat mengeluarkan diri dan keluarga dari kepompong kemiskinan. Justeru saya menggesa pelajar belajarlah dengan rajin sehingga menggenggam segulung ijazah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbeku bersama warga pendidik, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa di Sekolah Kem Skrang di Skrang di sini semalam.

Katanya, beliau sentiasa mengambil berat perkembangan pendidikan di DUN ini dan tidak pernah keberatan menyumbang sama ada dalam bentuk kewangan dan buah fikiran.

“Malah saya mewujudkan dana khas untuk anak-anak Engkilili dikenali Tabung Yayasan 1Engkilili yang dipengerusikan Peter Jawi dan dibantu Harold Wilson Api,” katanya dan menambah pengagihan dana telah dibuat pada 21 Disember lepas.

Malah beliau yang juga Ketua Pemuda serta Naib Presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP) menambah parti yang didokongnya turut mengambil berat aspek pendidikan anak-anak muda di negeri ini.

“Pihak parti telah menubuhkan Tabung Pendidikan UPP dengan dana awal bernilai RM50 juta dan telah dilancarkan oleh Yang di-Pertua Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada Ogos tahun lepas…dan proses pengagihannya telah berjalan,” katanya.

Pada majlis sama Dr Rayong meluluskan peruntukan membina laluan berbumbung dari asrama ke bilik kelas bernilai RM18,000 selain memperuntukan sejumlah RM30,000 lagi bagi pembinaan dewan sekolah.

“Saya juga memperuntuk RM10,000 untuk pembelian mesin fotostat dan perbelanjaan lain serta RM5,000 lagi untuk pembelian lima unit komputer untuk kegunaan para guru,” ujarnya dan menambah mahu blok kelas yang ada sekarang diganti kepada konkrit pada masa hadapan.

Hadir sama ke majlis itu ialah guru besar Harold Wilson Api, penolong kanan Singka Edang, Yang Dipertua PIBG Bangkong Maweng, penghulu Betok, para kaunselor, tuai-tuai rumah, guru-guru serta ibu bapa pelajar.