REDA landasan terbaik bangun lembah Sg Rajang

0

Keperluan rumah panjang, sosioekonomi rakyat, kesihatan dan pendidikan jadi fokus lembaga: Nanta

Oleh Watt Zacchaeus //

KANOWIT: Penubuhan Lembaga Pembangunan Wilayah Rajang (REDA) merupakan landasan terbaik untuk membangunkan kawasan lembah Sungai Rajang.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, REDA ini akan merangkumi kawasan seperti Julau, Kanowit, Kapit dan Hulu Rajang yang terletak di lembah Rajang.

“Kalau kawasan wilayah tengah ia sinonim dengan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) namun ia hanya fokus industri berat. Tetapi REDA ini hanya menfokuskan keperluan rumah panjang, sosial ekonomi rakyat, kesihatan dan pendidikan selain pembangunan infrastruktur lain,” katanya.

Jelasnya, REDA akan membantu memberi pembangunan ke kawasan lembah Rejang dan sentiasa dipantau dari semasa ke semasa.

Katanya, ini kerana kawasan lembah Rajang sangat jauh ketinggalan dari segi pembangunan dan sebagainya berbanding kawasan lain.

“Oleh itu, terdapat keperluan untuk kita menubuhkan pihak berkuasa menjaga pembangunan dan kepentingan rakyat di kawasan tersebut,” ujarnya.

Nanta berkata demikian pada majlis penyerahan bahan binaan Projek Khas Program Bantuan Rumah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah kepada mangsa kebakaran di Rumah Meruan Ngumbang di Skim Penempatan Semula Nanga Tada di sini, petang kelmarin.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Alexander Vincent, Setiausaha Politik Ketua Menteri Maurice Giri, Pegawai Daerah Kanowit Katis Noel Nyabong, Penghulu Ugap Seribu dan Tuai Rumah Meruan.

Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit memberitahu bahawa cadangan untuk menubuhkan REDA ini sudah dimaklumkannya dengan wakil rakyat di kawasan berkenaan termasuk Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

“Selain itu, saya turut memaklumkan juga kepada menteri Dayak termasuk Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Mereka menyahut baik cadangan ataupun idea menubuhkan REDA.

“Justeru idea penubuhuan  ini bukan datang daripada saya seorang malah ia datang daripada kami semua,” jelasnya lagi.

Beliau berkata, Adenan turut menyahut baik cadangan penubuhan REDA apatah lagi kerajaan sekarang menfokuskan pembangunan luar bandar.

“Adenan memberitahu saya bahawa REDA sangat baik namun apa yang penting sekarang, kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2016.

“Selepas BN menang baharulah REDA ini akan dibincang dengan Adenan. Justeru, saya menggesa agar rakyat di sini teruskan sokongan padu anda kepada BN amnya calon BN kita di Ngemah ini iaitu Alexander.

“Hanya dengan sokongan anda REDA akan dapat direalisasikan demi pembangunan rakyat di kawsan lembah Rajang,” katanya lagi.

Bercakap lanjut mengenai  badan atau lembaga pembangunan yang mentadbir sesuatu kawasan, Nanta berkata, di Semenanjung Malaysia terdapat beberapa lembaga bertanggungjawab menjaga sesuatu pembangunan di sesebuah kawasan tertentu.

Misalnya, ujar Nanta ialah KEJORA di Johor, KEDA (Kedah), KETENGAH (Terengganu) dan KESIDA (Kelantan) yang bertanggungjawab memantau pembangunan.

“Itu sebab kita mahu REDA diwujud di Sarawak selepas SCORE. Banyak memanfaatnya kepada rakyat dalam usaha kita menyeimbangkan serta mempercepatkan pembangunan di kawasan lembah Rajang,” tambahnya lagi.

Pada majlis itu, Nanta turut menyerahkan bantuan berupa kayu untuk mendirikan rumah baharu kepada Tuai Rumah Meruan dari kementeriannya sambil disaksikan oleh Aaron, Alexander, Maurice serta para pemimpin masyarakat yang lain.

Secara keseluruhannya, Rumah Meruan telah menerima kira-kira RM700,000 daripada pelbagai jenis bantuan yang merangkumi geran dari kerajaan dan wakil rakyat selain dari bantuan lain.