Kebakaran sebuah kereta disiasat pelbagai sudut

0

SIBU: Motif kebakaran sebuah kereta yang terletak di parkir belakang sebuah bangunan kedai di Jalan Kampung Nyabor di sini awal pagi semalam dijangka disiasat daripada pelbagai sudut.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, kereta jenis Proton Wira Sedan didapati terbakar tanpa mengetahui punca sebenar memaksa polis menyiasat insiden tersebut daripada pelbagai kemungkinan.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Mohd Kamal Kordi ketika dihubungi memberitahu satu laporan mengenai kejadian tersebut diterima pihaknya pagi semalam.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.

“Kami ke lokasi kejadian menjalankan siasatan kes dan motif sebenar kejadian masih disiasat daripada pelbagai sudut,” katanya.

Menurut sumber, kereta Wira 1.5cc berwarna maroon itu dimiliki seorang lelaki berumur 40 tahun tinggal di tingkat 1, bangunan berhampiran lokasi kejadian.

Difahamkan terdapat satu kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di lokasi kejadian namun posisi lensa kamera CCTV tersebut dipercayai dihala ke arah bumbung sebelum kejadian.

Jabatan Bomba dan Penyelamat dimaklumkan mengenai insiden tersebut turut ke lokasi kejadian memadamkan api namun kereta tersebut telah pun musnah dijilat api.

Bapa pemilik kereta itu tampil ke Balai Polis Sentral membuat laporan berhubung insiden tersebut jam 7.30 pagi semalam.