SMKA SHOAW perkenal kokurikulum TMUA

0

Oleh Rusnan Mustafa//

LAHIR TAHFIZ SARAWAK: Fatimah (kanan) mempengerusi perbincangan mengenai penempatan lepasan Ma’had Tahfiz Tun Abdul   Rahman Ya’kub  ke sekolah agama di Sarawak mulai 2017 di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya semalam.

LAHIR TAHFIZ SARAWAK: Fatimah (kanan) mempengerusi perbincangan mengenai penempatan lepasan Ma’had Tahfiz Tun Abdul Rahman Ya’kub ke sekolah agama di Sarawak mulai 2017 di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya semalam.

KUCHING: Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Haji Othman Abd Wahab (SHOAW) menjadi sekolah pertama di Sarawak yang mempunyai kokurikulum Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA).

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, kokurikulum TMUA itu mula dilaksanakan pada 2017 di SHOAW bagi melahir lebih ramai profesional mempunyai asas agama mantap berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah.

Sehubungan itu, beliau memberitahu kira-kira 40 pelajar Ma’had Tahfiz Tun Abdul Rahman Ya’kub (MATTARY) bakal menamatkan sesi persekolahan peringkat rendah boleh melanjutkan persekolahan di situ.

Namun, Fatimah berkata, ia bergantung kepada kemahuan ibu bapa pelajar MATTARY sendiri untuk memilih sekolah agama yang sesuai untuk anak-anak mereka.

“Bermula 2017, SHOAW akan mempunyai kokurikulum baharu iaitu TMUA khusus untuk pelajar tahfiz melanjutkan sesi persekolahan mereka di peringkat menengah dalam usaha kita melahirkan lebih ramai profesional dalam bidang agama di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusi mesyuarat mengenai penempatan pelajar lepasan MATTARY ke sekolah agama di Sarawak mulai 2017 di bilik mesyuarat, Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya di sini semalam.

Pada masa sama Fatimah menjelaskan, Sarawak masih memerlukan guru pendidikan Islam memandangkan setakat ini hanya 996 guru agama Islam di negeri ini merupakan anak tempatan.

“Peratusan guru pendidikan Islam terdiri daripada anak tempatan hanyalah 31.42 peratus daripada 2,664 guru agama Islam di negeri ini.

“Jadi kita masih memerlukan lebih ramai anak tempatan menjadi guru pendidikan Islam di negeri ini,” tambahnya.

Mengulas lanjut mengenai kelayakan untuk mengambil kokurikulum TMUA, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak Abang Mat Ali Abang Masagus berkata, pengambilan murid terbuka kepada warganegara Malaysia dan lulus ujian penilaian Perkara Asas Fardu Ain (PAFA).

“Pemilihan murid berdasar syarat sedia ada kemasukan ke SMKA bagi memastikan murid berupaya mengikuti TMUA,” ujarnya.

Hadir sama pada mesyuarat itu Pengurus Besar Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) Mohamad Sabry Othman, Pengurus LAKMNS Megawati Julaihi, Guru Besar MATTARY Yusuf Shamat dan tetamu lain.