BPIEF pameran pendidikan terbesar, bermanfaat

0
RASMI: Fatimah memukul gong sebagai simbolik perasmian BPIEF 2016 di BCCK semalam. Turut kelihatan Phyllis (empat kiri), Wong (dua kanan), Dorge (empat kanan) serta lain-lain.

RASMI: Fatimah memukul gong sebagai simbolik perasmian BPIEF 2016 di BCCK semalam. Turut kelihatan Phyllis (empat kiri), Wong (dua kanan), Dorge (empat kanan) serta lain-lain.

Pameran wadah terbaik pelajar membuat keputusan bidang pengajian untuk masa depan: Fatimah

Oleh Agnes Tugong //

KUCHING: Pameran Pendidikan Antarabangsa Borneo Post (BPIEF) 2016 membuka tirai semalam di Pusat Borneo Konvensyen Kuching (BCCK) di sini selama dua hari sehingga hari ini.

Memasuki edisi ketujuh tahun ini, BPIEF 2016 menyaksikan penyertaan daripada 93 institusi pendidikan awam dan swasta termasuk institusi kewangan awam dan swasta di bawah satu bumbung.

Dalam ucapan perasmiannya, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah berkata BPIEF merupakan pameran pendidikan terbesar yang bermanfaat kepada pelajar dan lepasan sekolah di negeri ini.

“Penganjuran BPIEF seperti hari ini adalah satu peluang besar kepada para pelajar terutama lepasan sekolah untuk mendapatkan maklumat mengenai peluang-peluang pendidikan yang ada ditawarkan di pelbagai institusi pendidikan awam dan swasta di dalam dan luar negeri.

“Saya percaya pameran ini akan membantu anak-anak dan para pelajar kita membuat keputusan yang terbaik dalam memilih bidang pengajian yang akan menentukan kerjaya serta masa depan mereka.

“Jadi, saya berharap anak-anak pelajar akan memanfaatkan sebaik mungkin BPIEF ini dengan mendapatkan maklumat sebanyak mungkin mengenai bidang pengajian, universiti serta kemudahan lain yang ada disediakan bagi membantu mencapai cita-cita anda,” katanya.

Pada majlis itu semalam, Fatimah turut menasihatkan para pelajar supaya berusaha lebih gigih untuk memperbaiki kemahiran menguasai bahasa Inggeris (BI) untuk membolehkan mereka bersaing di peringkat global.

“Seperti yang anda tahu, BI kini merupakan bahasa rasmi kedua untuk kita di Sarawak dan untuk bersaing di peringkat global anda harus menguasai lebih daripada satu bahasa seperti Mandarin, BI selain Bahasa Malaysia (BM).

“Jika penguasaan BI anda masih lemah, maka anda perlu berusaha lebih gigih dan kenal pasti di mana kelemahan anda bagi memastikan BI anda sama fasih dengan BM anda,” tambahnya.

Selaku Penaung bagi BPIEF, Fatimah turut memuji usaha konsisten Borneo Post menganjurkan pameran ini sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka kepada masyarakat Sarawak.

Hadir sama, Pengarah Editorial Borneo Post dan Utusan Borneo merangkap Pengurus Besar Operasi Phyllis Wong, Pengerusi BPIEF Dorge Rajah, Pengurus Kawasan Kumpuan See Hua Wong Sing Seng serta yang lain.