Infantino presiden baharu, ikrar akan kembalikan maruah FIFA

0

ZURICH: Gianni Infantino kelmarin memenangi pemilihan presiden FIFA menggantikan Sepp Blatter dan segera berikrar membimbing badan bola sepak dunia itu keluar daripada trauma rasuah.

Setiausaha Agung UEFA berusia 45 tahun itu, yang lewat menyertai pertandingan mencatatkan kemenangan meyakinkan ke atas pencabar dari Asia, Sheikh Salman Ebrahim Al Khalifa pada pusingan kedua undian oleh 207 ahli-ahli.

“Kita akan memulihkan imej FIFA dan maruah FIFA dan semua orang di dunia akan memuji kita,” kata Infantino berikrar memberi AS$1.2 bilion (RM5.04 bilion) kepada persatuan kebangsaan dalam tempoh empat tahun di Kongres FIFA selepas kemenangannya.

“FIFA mengalami waktu sedih, saat krisis tetapi waktu itu sudah berakhir. Kita perlu melaksanakan pembaharuan, tadbir urus yang baik dan ketelusan. Kita juga perlu ada rasa hormat,” katanya.

Infantino memperolehi 115 undi pada pusingan kedua pemilihan manakala Sheikh Salman, presiden Konfederasi Bola Sepak Asia dari Bahrain mendapat 88 undi.

Mereka hanya dipisahkan oleh tiga undi sahaja untuk keputusan 88-85 pada pusingan pertama.

Lima calon memulakan pertandingan pada hari pemilihan.

Selepas memperolehi 27 undi pada pusingan pertama, Putera Ali al-Hussein dari Jordan mendapat hanya empat sahaja undi pada pusingan kedua.

Bekas pegawai FIFA, Jerome Champagne mendapat tujuh undi pada pusingan pertama tetapi kosong dalam undian penentuan.

Taikun Afrika Selatan Tokyo Sexwale menarik diri sebelum pusingan pertama.

Pemilihan Infantino dialu- alukan oleh pemimpin dunia seperti Presiden Rusia, Vladimir Putin dan ketuaketua persekutuan.

Putin, ketua negara yang akan menganjurkan Piala Dunia 2018 berkata, Infantino memegang jawatan dengan ‘kuasa tinggi’.

Namun, warga Swiss-Itali itu mengambil alih kepimpinan bagi sukan nombor satu dunia dengan reputasinya pada tahap terendah dalam sejarah.

Blatter dan presiden UEFA, Michel Platini digantung daripada sukan bola sepak selama enam tahun, pendakwa raya di Amerika Syarikat (AS) sudah mendakwa 39 orang berkaitan sogokan perniagaan bola sepak berjumlah lebih AS$200 juta (RM840 juta) manakala pihak berkuasa Swiss sedang menyiasat pengurusan FIFA dan penganugerahan Piala Dunia 2018 dan 2022.

Infantino, yang menyertai pertandingan hanya selepas Platini diketepikan juga berdepan dengan masalah kewangan segera.

Pemangku Setiausaha Agung, Markus Kattner berkata ‘ketidaktentuan umum’ ditimbulkan oleh krisis itu bermakna FIFA kekurangan AS$550 juta (RM2.31 bilion) dalam sasaran bajetnya sejumlah AS$5 bilion (RM21 bilion) untuk tempoh 2015- 2018.

Infantino telah mencadangkan agar penyertaan dalam Piala Dunia ditambah daripada 32 kepada 40 pasukan dan menggandakan jumlah yang diberi balik kepada 209 persatuan kebangsaan kepada lebih AS$1.2 bilion pada keseluruhannya setiap empat tahun. — AFP