Friday, August 6

Kuching terus mengungguli Kumpulan C

0

KUCHING: Pasukan Kuching terus mengungguli Kumpulan C saingan Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) 2015-2016 Peringkat Kebangsaan selepas membenam Miri dengan 2-0 pada perlawanan keempat berlangsung di Stadium Negeri semalam.

Tuan rumah berada di depan pada minit ke-30 selepas Mohd Izzudin Jahidin berjaya menyempurnakan sepakan penalti.

Babak kedua tambah rancak dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun ketumpulan jentera serangan menghampakan hasrat untuk menambah jaringan.

Misi Kuching untuk mengutip tiga mata penuh akhirnya terlunas selepas kapten pasukan, Ahmad Shakri Tuah meledakkan gol kedua dalam masa kecederaan.

“Syabas kepada semua pemain kerana bermain dengan baik sekali gus memastikan Kuching berjaya mencatat kemenangan kedua.

“Kita bermain mengikut apa yang telah dirancang dan saya amat kagum dengan semangat kental semua pemain dalam mengekang asakan bertali arus Miri,” kata Pengurus Kuching, Iswandi Ali Hassan yang ditemui selepas perlawanan di sini semalam.

Katanya, Miri bermain dengan baik dan sering kali mengancam kubu mereka.

Bagaimanapun, beliau berasa lega kerana pertahanan Kuching juga beraksi cemerlang mematahkan serangan Miri yang diketuai bekas penyerang SUKMA Sarawak, Francis Martin.

Kemenangan itu memastikan Kuching selesa di persada Kumpulan C dengan mengumpul lapan mata hasil dari dua kemenangan dan dua seri.

Satu lagi saingan menyaksikan Kota Belud dikejutkan Papar dengan 1-0 di Kompleks Sukan Kota Belud.

Kuching akan melayan kunjungan Papar di Padang Stadium C pada 5 Mac depan.