Mangsa dan rakan sedang minum ketika diserbu sekumpulan lelaki bersenjata tajam
Oleh Jeremy Lanson //
KUCHING: Seorang lelaki dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) selepas diserang sekumpulan lelaki di sebuah kedai makan di Jalan Stutong, di sini semalam.
Menurut sumber, mangsa berusia 48 tahun semasa kejadian bersama seorang lagi rakannya sedang minum apabila tiba-tiba didatangi sekumpulan lelaki sekitar jam 3.30 pagi.
Difahamkan, dua daripada suspek menggunakan senjata tajam terus bertindak menetak kepala mangsa serta badannya menyebabkan mangsa rebah di tempat kejadian.
“Semua suspek menunggang motosikal kemudian beredar dari tempat kejadian dan mangsa dikejarkan ke HUS oleh rakannya untuk mendapatkan rawatan,” kata sumber.
Sehingga berita ini ditulis semalam, mangsa dilaporkan stabil namun masih menerima rawatan di Unit Kecemasan HUS.
Laporan polis berhubung kejadian juga telah dibuat dan siasatan polis masih dijalankan.
Sementara dalam kejadian berasingan, dua sahabat terpaksa dikejarkan ke HUS selepas cuba menghalang sekumpulan lelaki membelasah rakan mereka ketika melepak di Taman Samarindah, Kota Samarahan semalam.
Menurut sumber, kedua-dua mangsa yang berusia 27 dan 28 tahun semasa kejadian bersama seorang lagi rakan mereka apabila didatangi sekumpulan lelaki iaitu sekitar jam 3 pagi.
“Kumpulan (suspek) tersebut kemudian menyerang rakan mangsa menyebabkan kedua-dua cuba menghalang tetapi turut dibelasah dengan senjata tajam sehingga cedera,” kata sumber.
Melihat keadaan kedua-dua mangsa berlumuran darah menyebabkan semua suspek terus beredar meninggalkan tempat kejadian.
Beberapa orang awam melihat kejadian tersebut kemudian membantu mangsa selain turut menghubungi ambulans.
Kedua-dua mangsa sehingga berita ini ditulis semalam dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di HUS.