RM360 juta peruntukan korek Sungai Sarawak

0

TZZ-016KUCHING: Sebanyak RM360 juta diperuntuk kerajaan persekutuan untuk menjalankan kerja pengerukan atau pengorekan Sungai Sarawak di Terminal Senari di sini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, peruntukan berkenaan bagi menjalankan kerja pengerukan melibatkan Muara Tebas sehingga Pending sepanjang 23.4 kilometer.

“Pada taklimat bersama KPA (Lembaga Pelabuhan Kuching), saya dimaklumkan kerja pengerukan dari Muara Tebas hingga Pending iaitu 23.4 kilometer melibatkan kos RM360 juta.

“Bagaimanapun buat masa ini ia masih di peringkat kajian hidraulik, kajian penilaian kesan alam sekitar (EIA) selain kajian tapak pelupusan yang akan siap masa enam bulan ini,” katanya.

Tambah beliau, sejurus sahaja kajian berkenaan siap, kerja pengorekan dijangka mula dijalankan Oktober tahun ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Taklimat Bersama Lembaga Pelabuhan Kuching (KPA) yang dihadiri Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong dan Pengerusi KPA Datuk Awang Bemee Ali Basah di Terminal Senari di sini, semalam.

Liow berkata, kerja pengorekan itu melibatkan kedalaman sembilan meter dan dijangka mampu mencapai 12 meter sekiranya air pasang berlaku.

“Projek ini bertujuan untuk membolehkan kapal besar lalu dan kedua-dua arah berbanding satu arah laluan sahaja serta dapat berlabuh di Terminal Senari,” ujar beliau.

Sementara itu Manyin pada sidang media sama memberitahu, buat masa ini kawasan berkenaan mempunyai kedalaman maksimum 7.5 meter.