SKMM perlukan sukarelawan ICT lahir warganegara digital

0

KUCHING: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memerlukan penyertaan sukarelawan dalam usaha menjayakan pelaksanaan program Sukarelawan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Malaysia (MIV) di negeri ini.

Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Strategik dan Advokasi SKMM, Eneng Faridah Syed Iskandar berkata program itu bertujuan memperkasa rakyat supaya menjadi warganegara digital.

Katanya, ia sekali gus menyokong serta menyahut saranan kerajaan dalam membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara pintar digital.

“Barisan sukarelawan terlibat dalam menyampaikan ilmu di samping melatih masyarakat mengenali ICT serta mengamalkannya untuk keperluan sendiri,” katanya ketika bercakap pada sesi taklimat bersama media di Kuching, kelmarin.

Mengulas lanjut, Faridah berkata menerusi inisiatif MIV itu, pada sukarelawan akan mengajar dan memupuk penggunaan ICT dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur.

“Pengguna akan diajar mengguna alat dan aplikasi ICT untuk keperluan khusus mereka sekali gus membangun keupayaan manusia dan institusi dalam penyelidikan serta pembangunan sektor komunikasi dan multimedia,” ujarnya.

Menurutnya, fasa pertama program MIV kebangsaan sedang dilaksanakan di sepuluh Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) termasuk di Samarahan, Lundu, Bau, Simunjan, Betong Mukah, Kanowit, Bintulu, Miri dan Song.

Faridah berkata setiap kawasan dijangka mempunyai lima sukarelawan dan akan membuat penilaian pada hasilnya.

“Pemilihan Sarawak sebagai lokasi SKMM menjalankan program ini kerana negeri (Sarawak) ini mempunyai persekitaran yang mencabar dari kedua-dua aspek di bandar dan luar bandar.

“Dengan latar belakang yang pelbagai, ia akan mencabar dan menarik kerana keperluan berbeza,” katanya.

Majlis pelancaran program MIV yang bertempat di Kampung Pandan, Lundu semalam bermula dengan program berasaskan komuniti seawal jam 8.30 pagi.

Kriteria diperlukan ialah bersemangat dalam melakukan aktiviti sukarela berkaitan ICT, berumur 18 tahun ke atas serta mempunyai kelayakan minimum diploma atau setaraf.

Mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut boleh melayari laman web http://miv. mcmc.gov.my/home.