Perompak tumpas dibaling dengan topi keledar

0
TUMPAS: Suspek yang cedera mendapatkan rawatan di Hospital Sarikei.

TUMPAS: Suspek yang cedera mendapatkan rawatan di Hospital Sarikei.

Kepantasan pengawal keselamatan halang cubaan perompak nikmati hasil rompakannya

Oleh Kepu Sidi //

SARIKEI: Kepantasan tindakan seorang pengawal keselamatan bertugas di Terminal Bas Jalan Nyelong-By Pass menggagalkan cubaan seorang perompak untuk menikmati hasil rompakannya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sarikei DSP Dominic Josip Nyarui berkata, dalam kejadian tersebut seorang lelaki lingkungan 20-an bertindak merompak seorang petugas kaunter di Terminal Bas Jalan Nyelong-By Pass malam kelmarin.

“Berdasarkan laporan awal diterima, kejadian itu berlaku sekitar jam 8 malam.

Semasa mangsa bertugas di kaunter, dia didatangi suspek melalui pintu belakang.

“Suspek bertopeng memegang pisau lalu memaksa mangsa memberi duit dari kaunter. Namun, suspek bertindak sendiri membuka laci kaunter dan mengambil wang lebih kurang RM300 dan terus melarikan diri menggunakan sebuah motosikal.

“Sebaik suspek melarikan diri, mangsa berteriak meminta pertolongan dan seorang pengawal keselamatan bertindak mengejar suspek lalu membalingnya dengan topi keledar.

“Balingan tersebut terkena suspek dan menyebabkannya terjatuh dan berjaya ditahan,” kata Dominic dalam satu kenyataan kepada media di sini, semalam.

Suspek berjaya ditangkap dan dibawa ke Hospital Sarikei untuk mendapatkan rawatan.

Turut dirampas daripada suspek sebilah parang, sebilah pisau, satu topeng, sebuah motosikal jenis Yamaha yang menggunakan nombor pendaftaran palsu dan wang dalam anggaran RM300.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 392/394 Kanun Keseksaan.