Thursday, October 1

SK Rantau Panjang akan dipindah ke lokasi baharu

0

KUCHING: Disebabkan sering dilanda banjir dan sempit, Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang di sini akan dipindahkan ke lokasi baharu.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mengadakan lawatan ke sekolah berkenaan di sini, semalam.

“Kita akan pindahkan sekolah ini ke lokasi baharu sebab kawasan ini sempit dan sering dilanda banjir setiap tahun… kedudukan sekarang memang tidak sesuai,” katanya.

Justeru, katanya kerajaan negeri akan mengenal pasti tapak baharu untuk sekolah berkenaan.

Bagaimanapun, katanya peruntukan untuk membina sekolah baharu kepada SK Rantau Panjang itu masih belum diketahui lagi.

Sementara sempena majlis, isteri Najib yang turut hadir, Datin Seri Rosmah Mansor telah menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di bandar raya ini.

Sumbangan daripada Tabung Kesejahteraan Kanak-Kanak Sedunia serta Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI) itu diserahkan kepada Timbalan Presiden Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri Sarawak (SABATI) Dato Sri Empiang Jabu selaku wakil.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg dan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Senator Datuk Dr Sim Kui Hian.

Terdahulu, Najib bersama isteri dengan diiringi Jabu, Abang Johari dan Dr Sim telah mengadakan ‘walkabout’ di Kampung Rantau Panjang di sini iaitu salah sebuah kampung yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Kehadiran Najib turut disambut kira-kira 3,000 orang yang terdiri daripada masyarakat setempat.