800 batang balak haram dirampas

0

Oleh Jeremy Lanson//

RAMPAS: Anggota PPMW5 Sibu menunjukkan longgok kayu balak yang ditemui di Sungai Merah, Batang Igan, Sibu semalam.

RAMPAS: Anggota PPMW5 Sibu menunjukkan longgok kayu balak yang ditemui di Sungai Merah, Batang Igan, Sibu semalam.

KUCHING: Kegiatan pembalakan haram terus dibanteras dengan sebuah lagi kawasan yang disyaki melakukan pembalakan haram diserbu dan 800 batang balak bernilai mencecah RM280,000 dirampas.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 5 (PPMW5) ACP Kalai Chelvan Nadarajan berkata serbuan tersebut dilakukan di perairan Sungai Merah, Batang Igan Sibu sekitar jam 1 pagi semalam.

“Bertindak atas maklumat awam, PPWM5 Sibu yang menjalankan Ops Pensura telah membuat rondaan di perairan Sungai Merah, Batang Igan, Sibu dan menemui kira-kira 800 batang kayu pelbagai jenis serta saiz dianggarkan bernilai RM280,000.

“Hasil pemeriksaan mengesyaki kayu-kayu tersebut diperolehi secara tidak sah dan anggota operasi menunggu hampir sejam di lokasi tersebut namun tiada pemilik kayu berkenaan datang menuntut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan akhbarnya di sini, semalam.

Beliau menambah kesemua balak tersebut dirampas dan diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 85(1) Ordinan Perhutanan Sarawak kerana disyaki memperolehi kayu balak secara haram.