Jurutera digesa lebih kreatif dan inovatif

0
GUNA SEBAIKNYA: Lee menyampaikan cek bernilai RM5,000 kepada Wee sambil disaksikan tetamu lain.

GUNA SEBAIKNYA: Lee menyampaikan cek bernilai RM5,000 kepada Wee sambil disaksikan tetamu lain.

Khususnya dalam membantu mencari kaedah alternatif kurangkan kos binaan, pencemaran alam sekitar

Oleh Connie Sylvia Mesa //

MIRI: Jurutera digesa menjadi lebih kreatif dan inovatif dalam profesion mereka khususnya dalam membantu mencari kaedah alternatif mengurangkan kos binaan dan pencemaran alam sekitar.

Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin berkata masalah ekonomi tidak stabil tidak perlu dijadikan alasan sebaliknya jurutera perlu mengambil peluang meningkatkan kreativiti mereka mencipta kaedah dalam bangunan atau bahan pembinaan.

“Sama ada ekonomi dalam keadaan baik atau tidak, kita cenderung untuk menggunakan bahan kejuruteraan dalam binaan yang diimport.

“Justeru, dengan pengetahuan yang ada cari alternatif baharu untuk menghasilkan bahan kejuruteraan baik sekali gus menghasilkan bahan yang mampu memberi kesan baik kepada negara dan alam sekitar,” katanya pada Majlis Jamuan Malam Institution of Engineerings Malaysia (IEM) Cawangan Miri di sini malam kelmarin (Sabtu).

Hadir sama Pengerusi IEM Cawangan Miri Paul Chiew, pengerusi penganjur merangkap Pengerusi IEM Young Engineer Section (YES) Miri Elaine Wee, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Lawrence Lai, Pengerusi Eksekutif Miri Housing Group of Companies Datuk Lau Siu Wai dan tetamu lain.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu berkata, pembuangan sisa bahan binaan menjadi masalah utama yang masih belum selesai sepenuhnya.

Malah, beliau turut mencabar IEM Miri untuk mencari jalan penyelesaian bagi pembuangan sisa bahan binaan terbabit.

“Walaupun masih belum ada penyelesaian sepenuhnya namun penyelesaian kepada masalah sisa binaan dalam skala kecil membuktikan ia masih boleh diselesaikan,” ujarnya.

Sehubungan itu, kontraktor dipertanggungjawabkan perlu diberi penekanan mengenai cara pembuangan sisa bahan binaan walaupun mungkin mengambil masa, tenaga dan usaha.

“Kontraktor perlu diberi penekanan berhubung pembuangan sisa bahan binaan atau kitar semula dengan kaedah yang betul untuk menjaga alam sekitar kita,” jelasnya.

Mengulas mengenai bidang kejuruteraan, Lee berkata: “Permintaan terhadap perkhidmatan kejuruteraan di Sarawak amat tinggi terutama menerusi Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) di Samalaju, Bintulu.”

Justeru, kebanyakan universiti tempatan dan swasta menawarkan program-program kejuruteraan kepada golongan belia.

“Seperti di Curtin Sarawak, setakat ini universiti tersebut melahirkan lebih 800 jurutera. Bagaimanapun, jumlah tersebut masih belum mencukupi bagi memenuhi permintaan SCORE.

“Diharapkan bakal jurutera atau jurutera masa kini lebih kreatif dan berinovatif mampu membuat perubahan dalam bidang ini pada masa akan datang,” katanya.

Lee turut menyampaikan peruntukan bernilai RM5,000 kepada IEM YES Miri bagi menganjurkan pelbagai aktiviti seperti persidangan atau bengkel berkaitan yang dapat memberi manfaat kepada jurutera muda di sini.