Mati ditampar menantu

0

TA02519Warga emas meninggal dunia selepas ditampar menantunya di Sibu.

Oleh Watt Zacchaeus //

SIBU: Seorang warga emas lelaki berusia 59 tahun, meninggal dunia selepas ditampar oleh menantu lelakinya di rumahnya di Lorong Perpati di sini, malam kelmarin.

Mangsa, Kong Ai Sien yang bekerja sebagai buruh sebuah pelabuhan di sini, disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di pusat perubatan swasta di sini jam 7.37 malam.

Terdahulu, sekitar jam 6 petang suspek dikenali Sia Kee Ding, 31, yang merupakan pemandu lori dikatakan pergi ke rumah mentuanya untuk bertemu dengan anak perempuannya berusia 10 tahun.

Difahamkan suspek dan isterinya dalam proses perceraian dan isteri bersama anaknya tinggal bersama mangsa.

Suspek juga dikatakan ada kalanya datang ke rumah mangsa untuk bertemu dengan anak-anaknya.

Suspek bersama isterinya mempunyai tiga orang anak yang masing-masing berusia 14 tahun, 10 tahun dan tiga tahun.

Suspek dikatakan datang dengan marah-marah memanggil anaknya turun dari tingkat atas rumah mentuanya.

Begitupun, anaknya dikatakan tidak mahu turun ke bawah untuk bertemu dengan suspek.

Melihat keadaan anaknya tidak mahu turun suspek dikatakan semakin marah dan naik ke tingkat atas.

Difahamkan anak suspek bersembunyi di belakang mangsa untuk mengelak suspek membawanya.

Dalam pergelutan mendapatkan anaknya dari belakang mangsa, suspek dikatakan cuba menarik anaknya namun anaknya tetap enggan pergi bersama suspek.

Suspek dikatakan memukul bahu dan tangan anaknya itu.

Mangsa difahamkan cuba meleraikan perbuatan suspek daripada terus memukul cucunya dan tercetus pertengkaran antara mereka.

Suspek yang hilang pertimbangan, dipercayai bertindak menampar bahu dan muka mangsa beberapa kali.

Tiba-tiba mangsa menggeletar kerana dipercayai diserang sakit jantung dan terus tertiarap dan mendapat luka di bibir dipercayai akibat terjatuh.

Suspek kemudian beredar dan tidak mempedulikan mangsa serta membiarkan mangsa dalam keadaan tersungkur.

Isteri mangsa melihat kejadian itu mengejarkan mangsa ke sebuah pusat perubatan swasta di sini namun disahkan meninggal dunia.

Bertindak atas laporan polis dibuat selepas itu, suspek diberkas di Pusat Komersil Wonderful, Jalan Hulu Sungai Merah ketika makan di sebuah kedai kopi tidak lama selepas itu.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sibu untuk tindakan lanjut dan mangsa dikatakan mengalami kecederaan luka di bibir sebelah kanan dan luka di tangan kanan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superintenden Martin Khoo ketika dihubungi semalam mengesahkan kes tersebut.

“Kes ini menyebabkan kematian dan kita akan siasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kita juga memberkas suspek membantu siasatan dan kini direman.

“Proses bedah siasat ke atas mayat mangsa ditentukan selepas mendapat pengesahan Patologi,” katanya.