Produk Gree kini semakin berkembang pesat

0
RASMI: (tiga dari kiri) Lau, Wong, Chen, Tiong bersama menyentuh bebola kaca sebagai simbolik perasmian majlis itu.

RASMI: (tiga dari kiri) Lau, Wong, Chen, Tiong bersama menyentuh bebola kaca sebagai simbolik perasmian majlis itu.

KTS tubuh bilik pameran Gree bagi menggalak dan membina keyakinan pelanggan

Oleh Borhaniza Ali Basah //

SIBU: Gree antara pengeluar pendingin hawa terbesar di dunia dan produk-produknya dibawa masuk oleh KTS Group lebih sedekad lalu, kini berkembang dengan pesat.

Timbalan Pengarah Urusan KTS Group Temenggung Datuk Vincent Lau berkata dengan sandaran syarikat pembuatan Gree Electric Applicances, Inc of Zhuhai, KTS Group terus kekal komited berkembang dari setapak ke setapak.

“Walaupun menghadapi persaingan sengit kita dapat menanganinya dengan keazaman dan menjadikannya sebagai jenama pendingin hawa paling popular di Malaysia,” katanya pada Majlis Pembukaan Rasmi Gree Show House di Pedada, Lot 9 di sini, semalam.

Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh hadir untuk merasmikan majlis itu.

Hadir sama Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Datuk Tiong Thai King dan Pengarah Jualan Luar Negara Gree Electric Appliances, Inc Zhuhai Chen Shao Lin.

Lau berkata KTS yang menjadi ejen untuk banyak produk negara-negara lain, menubuhkan bilik pameran untuk Gree bagi menggalakkan dan membina keyakinan kepada pelanggan.

Beliau berkata Gree beroperasi di Malaysia di bawah nama Gree Malaysia Sdn Bhd mengagumkan pelanggan menyediakan perkhidmatan lebih baik melalui penubuhan bilik pameran.

Beliau bagi pihak KTS mengucapkan terima kasih kepada Gree Electric Applicances, Inc Zhuhai kerana menjadi rakan kongsi mempromosikan produk tersebut di Malaysia.

“Kami berani menyediakan perkhidmatan dengan amanah dan integriti,” kata Lau.

Wong yang turut berucap berkata, kerjasama antara KTS dan Gree Applicances Electric, Inc Zhuhai adalah berdasarkan kepada keyakinan dan kebolehpercayaan.

Katanya ini adalah arah tujuan KTS dan syarikat Zhuhai terus melangkah maju ke hadapan.

Beliau turut memuji budaya profesionalisme diterapkan dalam urusan perniagaan KTS Group dan menyumbang kepada masyarakat.

Beliau turut menyatakan bahawa Gree merupakan antara 500 syarikat paling dikenali di dunia.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti itu berharap perkongsian pintar kedua-dua syarikat itu terus berkembang membina budaya semangat kerja keras dan perkhidmatan yang amanah.

“Malaysia dan China telah menikmati hubungan dua hala yang akan terus terjalin, bukan sahaja antara kedua-dua kerajaan tetapi kalangan sektor swasta,” katanya.

Gree mempunyai lebih daripada 570 makmal, 8,000 jurutera R&D, 52 pusat penyelidikan, 20,000 paten teknologi termasuk lebih 6,000 paten ciptaan, berdedikasi menghasilkan produk terbaik yang inovatif dan pelbagai pendingin hawa.

Dengan lebih 300 juta pengguna di seluruh dunia, satu per tiga sistem pendingin udara yang dihasilkan di dunia adalah oleh Gree.