Projek tebatan banjir Kuching perlu dikaji semula

0

Pelan sedia ada belum dapat dipastikan keberkesanan di kawasan mudah banjir sekitar bandar raya

// Oleh Sandy Mark Luna //

INTERAKSI: Wan Junaidi (dua kiri) diberi taklimat mengenai status pembinaan Surau Darul Hidayah di Kampung Cemerlang oleh Wong (tengah) sambil disaksikan Pengerusi Kejiranan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Cemerlang Johari Abang (dua kanan).

INTERAKSI: Wan Junaidi (dua kiri) diberi taklimat mengenai status pembinaan Surau Darul Hidayah di Kampung Cemerlang oleh Wong (tengah) sambil disaksikan Pengerusi Kejiranan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Cemerlang Johari Abang (dua kanan).

KUCHING: Projek tebatan banjir merangkumi pembinaan sebuah terusan perlu dikaji semula bagi memastikan bukan sahaja bandar raya ini, malah kawasan cenderung banjir berhampiran juga bebas daripada bencana banjir.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, meskipun pelan sedia ada dapat mengelakkan Kuching daripada dilanda banjir, namun keberkesanannya di kawasan-kawasan lain belum dapat dipastikan.

Oleh itu, katanya, beliau akan meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) peringkat persekutuan dan negeri, pihak konsultan termasuk sebuah syarikat dari Belanda untuk membuat kajian semula sebelum menghasilkan kertas cadangan bagi dikemukakan kepada Perdana Menteri dan seterusnya Jawatankuasa Ekonomi Negara untuk dilaksana.

“Mengikut pelan awal, sebuah terusan sepanjang enam kilometer dengan lebar 250 meter akan dibina, di mana ia turut melibatkan dua buah jambatan yang hampir 400 meter panjang, sebuah baraj dan pintu kawalan bagi mengawal gelombang pasang surut.

“Ini mungkin boleh membantu mengawal air agar tidak masuk ke bandar raya Kuching tetapi ada pekan-pekan lain kawasan hulu Sungai Sarawak Kanan yang mungkin akan terkena limpahan air sungai jadi ini yang kita kena kaji semula,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini semalam.

Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, bencana banjir pada dua bulan pertama tahun ini mengajar bahawa Kuching berpotensi dilanda banjir besar.

Projek tebatan banjir bagi Kuching dianggarkan menelan kos sebanyak RM1.8 bilion, berbanding anggaran awal RM1.6 bilion, katanya sambil menambah, projek tebatan banjir di seluruh negeri akan dilaksana secara berperingkat.

Beliau memberitahu, aliran tunai untuk melaksanakan projek tebatan banjir tahun ini di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 adalah kira-kira RM70 juta.

Kebanyakan projek itu adalah projek besar seperti di Sibu yang dianggarkan bernilai RM600 juta, Miri lebih RM200 juta dan Bintulu (RM200 juta)

“Kita laksana secara berperingkat supaya kesan positif dapat dirasai masyarakat berbanding secara besar-besaran yang akan mengambil masa begitu panjang,” katanya.

Beliau pada masa sama turut menyeru agar masyarakat termasuk pihak perladangan tidak melakukan pembakaran terbuka lebih-lebih lagi ketika cuaca kering atau akan dikenakan tindakan undang-undang.

“Pihak (Jabatan) Alam Sekitar seluruh negara, dari Perlis ke Sabah akan menguatkuasakan undang-undang yang tidak akan berkompromi bagi menjaga negara kita agar tidak terlibat dalam pembakaran yang akhirnya mendatangkan jerebu seperti berlaku di kawasan Sumatera di mana Riau mencatatkan bacaan indeks pencemaran udara 400, kita tidak mahu perkara ini berlaku di Malaysia,” katanya.

Terdahulu, ketika melawat tapak projek Surau Darul Hidayah di Kampung Cemerlang, Jalan Lapangan Terbang di sini, Wan Junaidi memberitahu projek bernilai RM600,000 itu yang 90 peratus siap dijangka boleh beroperasi sepenuhnya sebelum Julai tahun ini.

Beliau turut memberi cadangan agar sebuah dewan kecil diwujudkan di belakang surau berkenaan.

Hadir sama, Eksekutif Jurutera Bangunan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuching Wong Siu Ping.