Tolak parti cuba hapus hak istimewa orang Sarawak

0

Hormati Perjanjian Penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 termasuk kuasa imigresen negeri

// Oleh Steve Annuar //

MIRI: Rakyat diminta menolak perjuangan parti luar yang cuba menghapus keistimewaan rakyat negeri ini.

Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin berkata, parti Semenanjung Malaysia harus menghormati Perjanjian Penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 termasuk kuasa imigresen menghalang orang masuk ke negeri ini.

“Jangan pilih parti mahu menghapuskan keistimewaan Sarawak. Sarawak untuk orang Sarawak. Tiada erti untuk pihak luar menghapuskan hak kita,” tegas Lee.

Jelansya, kuasa imigresen diguna kerajaan Sarawak menyekat kemasukan golongan pelampau politik dan agama daripada menghasut serta  meracuni pemikiran rakyat Sarawak.

Beliau berkata demikian merasmikan majlis ramah mesra Tahun Baharu Cina dan hari keluarga anjuran Persatuan Pesara Kerajaan Sarawak (PPKS) cawangan Miri di rumah persatuan di Piasau Camp semalam.

Lee juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin berterima kasih kepada pemimpin terdahulu yang disifat golongan bijak dan berpandangan jauh bagi memastikan hak rakyat Sarawak terus terpelihara.

“Pemimpin terdahulu memiliki semangat bersatu padu memikirkan masa depan rakyat negeri ini. Kerana mereka, kita mempunyai kuasa tertentu seperti kuasa imigresen,” jelas Lee.

Sehubungan itu, Lee juga Menteri Muda Sukan mahu rakyat terus memberi mandat kepada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Lee memberitahu, hampir dua tahun memimpin Sarawak, Adenan memperkenalkan 50 dasar dan perubahan yang menjaga kepentingan dan hak rakyat pelbagai kaum di negeri ini.

Mengulas tentang pesara, Lee berkata, kerajaan tidak akan melupakan jasa bakti dan sumbangan mereka.

Katanya, pesara di negara ini beruntung kerana menerima pencen seumur hidup selain bonus dan kenaikan pencen setiap kali pengumuman kenaikan gaji dan bonus dari kerajaan.

“Kerajaan tidak pernah berhutang membayar pencen atau mengurangkan jumlah. Sebaliknya menerima kenaikan pencen dan menerima bonus. Inilah keistimewaan pesara di Malaysia, “ jelas Lee.

Lee turut mengumumkan geran RM20,000 digunakan untuk membeli peralatan rekreasi kegunaan ahli-ahli di rumah pesara.

Terdahulu, Pengerusi, Dennin Fredericks memberitahu, rumah pesara masih memerlukan bantuan dana bagi membeli kerusi refleksologi, meja ping pong, meja karom, set karaoke dan alat elektronik.

Di bawah jawatankuasa Dennin, rumah persatuan berjaya diperbaiki setelah dibiarkan uzur lebih 10 tahun dimamah anai-anai dan mengalami pelbagai kerosakan lain.

Antara aktiviti diadakan semalam ialah pertandingan karaoke dan mengupas kelapa.

Hadir sama ialah Residen Miri, Antonio Kahti Galis, Pengerusi SUPP Piasau, Datuk Sebastian Ting dan Pengerusi SUPP Pujut, Adam Yii.