Awang import perlu baiki diri

0

Jika mereka berhasrat mahu kekal dalam skuad Sarawak musim ini: Rajagobal

// Oleh Harry Ilias //

MASIH BUNTU: Gilmar masih mencari rentak pada musim ini.

MASIH BUNTU: Gilmar masih mencari rentak pada musim ini.

KUCHING: Barisan penyerang import Sarawak perlu memanfaatkan baki tempoh dua bulan untuk memperbaiki prestasi mereka masing-masing jika mahu berhasrat kekal dalam skuad itu musim ini.

Dengan kedudukan Sarawak menghuni tangga ke-11 tanpa mengutip sebarang kemenangan ketika ini, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) ternyata tidak mempunyai pilihan lain melainkan terpaksa menggantikan mereka (pemain import) dengan pemain-pemain baharu sebaik jendela perpindahan dibuka pada Jun nanti.

Pengendalinya, Datuk K Rajagobal memberi signal awal untuk mengambil langkah drastik jika kedudukan skuad Sarawak masih tidak berubah sebaik kempen liga bersambung minggu depan.

“Saya masih menaruh kepercayaan dan yakin dengan kemampuan pemain-pemain sedia. Bagaimanapun, jika keadaan kekal sebegini pemain- pemain perlu bersikap profesional,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurutnya, perlu diakui jentera penyerang tidak beraksi seperti diharapkan namun diketahui bahawa skuad Sarawak menampilkan ramai muka baharu dan mereka masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.

Tambahan pula, katanya beberapa pemain juga kurang cergas akibat kecederaan dan menjejaskan mutu persembahan pasukan Ngap Sayot ketika ini.

Setakat ini, pemain import Ndumba Makeche muncul penjaring terbanyak skuad Sarawak dengan meledakkan tiga gol disusuli Junior Aparecido dengan dua gol dan Gilmar Da Silva (satu gol).

Seorang lagi pemain import, Davide Grassi bermain di posisi pertahanan.

“Saya berharap rehat panjang akan memberi keyakinan dan nafas baharu kepada pemain- pemain kita termasuk pemain import untuk memberi persembahan lebih baik dan membantu memperbaiki prestasi skuad Sarawak,” katanya.

Kemenangan 4-0 ke atas Sabah DYS FC tempoh hari memberi sedikit keceriaan buat skuad Ngap Sayot bagi meneruskan perjuangan justeru Rajagobal menagih momentum serupa dijelmakan dalam kempen liga sebaik disambung semula Selasa ini.

Sarawak akan bertandang ke Stadium Bandaraya menentang Pulau Pinang pada 5 April ini.

Ketika ini, Sarawak menghuni tangga ke-11 dengan hanya mengutip dua mata daripada lima perlawanan.