MOT sedang rangka mekanisme terbaik untuk teksi, Uber dan GrabCar: Liow

0

PUTRAJAYA: Kerajaan sedang mempercepatkan usaha merangka mekanisme terbaik bagi membolehkan perkhidmatan pengangkutan dalam talian Uber dan GrabCar beroperasi pada platform yang sama dengan perkhidmatan teksi biasa.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pihaknya sedang meneliti beberapa perkara mengenai perkhidmatan Uber dan GrabCar termasukkeperluan untuk berdaftar dan memiliki lesen memandu kenderaan awam (PSV)sebelum beroperasi.

Katanya, kementerian juga sedang mempertimbang untuk memberi beberapa kelonggaran kepada pemandu teksi termasuk melihat semula prosedur pemeriksaan berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) setiap enam bulan.

“Kerajaan sedang merangka satu kaedah terbaik untuk semua pihak termasuk perkhidmatan Uber dan GrabCar, pemilik teksi dan juga pengguna dan berharap untuk menyelesaikan perkara ini secepat mungkin,” katanya kepada media selepas Majlis Penganugerahan Kecemerlangan Institut Memandu 2016, di sini semalam.

Pada 29 Mac lalu, ratusan pemandu teksi mengadakan demons­trasi membantah perkhidmatan Uber dan GrabCar yang didakwa menjejas pendapatan mereka.

Demonstrasi itu menyebabkan beberapa laluan utama sekitar ibu kota sesak. — Bernama