Najib serah kepada rakyat S’wak pilih pemerintah

0
KEMUDAHAN RAKYAT: Najib merasmikan UTC Miri sambil disaksikan oleh Jabu (kanan), Manyin (tiga kanan) serta yang lain.

KEMUDAHAN RAKYAT: Najib merasmikan UTC Miri sambil disaksikan oleh Jabu (kanan), Manyin (tiga kanan) serta yang lain.

Rakyat diseru buat penilaian sebaiknya usaha kerajaan BN salur pembangunan, beri perkhidmatan

Oleh Clare Cinderella dan Steve Annuar //

MIRI: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan kepada rakyat Sarawak untuk menentukan siapa layak untuk terus memerintah mereka, apabila tiba masanya bagi rakyat negeri ini berbuat demikian (pada pilihan raya negeri).

Namun, Perdana Menteri mengingatkan rakyat negeri ini supaya menilai sebaiknya usaha kerajaan dalam membangun dan memberi perkhidmatan terbaik kepada mereka malah akan terus menyalur pembangunan jika rakyat menghargai sumbangan kerajaan selama ini dengan membalasnya pada pilihan raya ini kelak dengan amalan ‘reciprocity’, iaitu saling memberi dan menerima.

“Saya serah kepada rakyat Sarawak. Konsep ‘reciprocity’ (iaitu saling memberi dan menerima) ini serahlah kepada rakyat, tidak lama lagi ada peluang untuk melakukan ‘reciprocity’ ini, bila sampai pada masanya nanti.

“Sebagai sebuah kerajaan kita tidak main politik, oportunis, tidak main politik kebencian, tidak buat cerita dongeng dan fitnah dalam media sosial. Kita buat (pembangunan) untuk rakyat dan inilah contoh kerajaan BN – mampu melakukan yang terbaik untuk rakyat Sarawak,” katanya lagi.

Najib memberitahu demikian semasa merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Miri, di sini petang semalam.

Hadir sama ialah Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi, Dato’ Sri Michael Manyin Jawong yang mewakili Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek serta menteri-menteri kabinet Pusat dan Negeri yang lain dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM), Lawrence Lai.

Mengenai konsep UTC, yang dibangunkan di Kuching, Sibu dan Miri, Najib berkata ia merupakan satu kolaboratif antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri serta MBM, yang merupakan satu usaha untuk menentukan kaedah penyampaian kepada rakyat secara lebih inovatif dan kreatif.

“Malah inovasi dalam konsep UTC telah melahirkan satu bentuk model yang saya anggap antara terbaik di dunia. Malah Bank Dunia telah menyatakan bahawa ia adalah model boleh dicontohi.

“Kita dapat melihat hanya di bawah satu bumbung kita boleh menempatkan begitu banyak agensi kerajaan dan di UTC Miri terdapat 16 agensi tediri daripada enam agensi kerajaan pusat, tujuh agensi kerajaan negeri dan tiga badan berkanun yang beroperasi daripada jam 8 pagi hingga 9 malam termasuk hari Sabtu dan hari Ahad,” katanya.

Menurut Najib, walau di negara maju sekali pun, mereka tidak mampu melaksanakan konsep UTC seperti Malaysia kerana tidak mampu menentukan jabatan yang boleh beroperasi pada hari Sabtu dan Ahad.

Terdahulu sebelum itu, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, dalam ucapannya berkata, kerajaan negeri amat berterima kasih kepada kerajaan pusat kerana amat memahami dan prihatin dengan kehendak pembangunan rakyat berbilang kaum di negeri ini.

Projek UTC yang dibangunkan di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan dan ditaja sepenuhnya oleh Kerajaan Pusat, katanya, merupakan salah satu contoh kepada usaha berkenaan yang menempatkan kesemua 16 buah agensi kerajaan pusat dan negeri serta badan berkanun.

“Sejak beroperasi pada 16 Mac lalu, UTC Miri telah menerima, seramai 23,153 pengunjung. Ini jumlah amat memberangsangkan selepas mengambil kira ia hanya mula beroperasi pada dua minggu yang lepas,” jelas beliau.

Dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Manyin semalam, Adenan turut berterima kasih kepada Najib kerana memilih Sarawak, sekali lagi sebagai ‘rumah’ kepada UTC yang ke-13 ditubuhkan di negara, sambil berharap agar Najib mempertimbangkan cadangan penambahan UTC di negeri ini.