Ranting PBB Kampung Trusan Jaya dilancar

0

SEMATAN:  Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) melancarkan penubuhan ranting baharu Kampung Trusan Jaya bagi kawasan Tanjong Datu di sini semalam.

Ahli Parlimen Santubong, Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata penubuhan ranting baharu itu merupakan ke-37 bagi kawasan Tanjong Datu.

Ditemui selepas pelancaran semalam, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar itu berkata penubuhan ranting baharu amat dinamik kepada PBB.

“Menerusi ranting ini ahli-ahli PBB dari Kampung Trusan Jaya dapat terlibat secara terus dalam aktiviti parti berbanding sebelum ini diletakkan di bawah ranting Kampung Tanah Hitam,” katanya.

Menurutnya, borang pendaftaran ranting akan dihantar kepada Ibu Pejabat PBB untuk diluluskan bagi memberi peluang kepada pemuda, bapa dan wanita dari kampung itu terlibat secara terus dalam PBB.

“Saya cukup yakin ranting ini akan diluluskan dan ahli-ahli mampu bekerjasama antara satu sama lain demi mengukuhkan parti lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang,” ujarnya.

Terdahulu pada Program Randau Mesra di kampung berkenaan, Wan Junaidi turut memberi jaminan akan membantu penduduk kampung mengatasi masalah seperti yang dibangkitkan oleh Ketua Kampung Ismail Jol.

Antara yang dibangkitkan oleh Ismail ialah memohon pembinaan dewan dan menaik taraf benteng di kampung tersebut yang semakin terhakis.

“Kita akan mengatasi masalah ini selain yang telah kita laksanakan bersama Ketua Menteri seperti bina baharu dewan Kampung Tanah Hitam bagi memberi laluan kepada projek Tebingan Sematan.

“Justeru itu, suka saya ingatkan kepada rakyat khususnya pengundi di kawasan ini agar tidak lupa keluar mengundi apabila tiba harinya nanti.

“Anda hanya perlu korbankan masa satu hari untuk keluar mengundi tetapi yang kita pilih nanti Ketua Menteri akan mengorbankan masa lima tahun lagi untuk kita,” katanya.

Menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-11(PRN11) bakal diadakan tidak lama lagi, Wan Junaidi selaku Pengarah Operasi PRN PBB Tanjong Datu mengadakan perjumpaan dengan masyarakat Cina dalam masa terdekat.

Perjumpaan tersebut merupakan sebahagian daripada program menjelang PRN11 bagi memastikan pengundi Cina dan lain-lain kaum di Tanjong Datu tidak terpengaruh dengan parti luar.