Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga tekankan ‘Rural, Regional & Remote’

0

KUCHING: Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga akan mengambil tiga bidang yang menjadi penekanan utama oleh James Cook University, Australia untuk diguna pakai di negeri ini.

Menterinya Datuk Fatimah Abdullah berkata tiga bidang tersebut ialah ‘Rural, Regional & Remote’ yang amat relevan bagi Sarawak khususnya dari segi meningkatkan bidang pendidikan dan kesihatan.

“Ketiga-tiga bidang sangat berkaitan dengan situasi di Sarawak terutama dari segi pendidikan di mana kerajaan negeri sekarang berusaha untuk mendapatkan lebih banyak autonomi dalam bidang ini.

“Ini kerana kita masih jauh ketinggalan dari segi prestasi pendidikan anak-anak termasuk prasarana sekolah terutama di kawasan luar bandar,” katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Naib Cancelor James Cook University Profesor Robyn Mcguiggan di pejabatnya, Bangunan Baitulmakmur di sini, semalam.

Menjelas lanjut, Fatimah berkata penekanan terhadap pendidikan adalah sangat penting dan diperlukan di Sarawak terutama bagi sekolah di luar bandar.

“Kebanyakan sekolah di Sarawak terutama sekolah rendah adalah berada di luar bandar dan kita mahu melihat jurang kemudahan serta prestasi anak-anak di sekolah luar bandar dengan bandar dirapatkan,” katanya.

Selain itu, beliau menambah bahawa kementeriannya akan turut memberi penekanan tinggi terhadap pendidikan di peringkat universiti.

Sehubungan itu, beliau berkata akan mengadakan kerjasama dengan James Cook University menerusi program inspirasi universiti bagi menggalakkan lebih ramai anak-anak di luar bandar memasuki universiti dan berupaya menjana pendapatan sendiri.

“Kita mahu mengubah nasib serta masa depan generasi baharu terutama di luar bandar dan ini hanya dapat dicapai menerusi pendidikan,” katanya.

Sementara dari segi kesihatan, Fatimah berkata ia turut penting di mana trend pada masa ini menunjukkan semakin ramai rakyat Malaysia terutama golongan warga emas yang menghadapi masalah kesihatan seperti diabetes, darah tinggi dan masalah kolesterol.

“Dalam kita hendak menjadi sebuah negara tua menjelang 2030, kita mahu memastikan rakyat adalah sejahtera dari sudut kesihatan.

James Cook University adalah antara institusi pengajian tinggi pada ranking terbaik di dunia yang mengguna pakai penekanan 3R iaitu ‘Rural, Regional & Remote’ dalam sistem pembelajarannya.