Lapan cedera letupan gas LPG di Mid Valley

0
MUSNAH: Keadaan restoran yang mengalami kerosakan akibat letupan kecil disebabkan kerja baik pulih gas petroleum cecair (LPG) di pusat beli-belah Mid Valley Megamall, dekat Kuala Lumpur, semalam.  — Gambar Bernama

MUSNAH: Keadaan restoran yang mengalami kerosakan akibat letupan kecil disebabkan kerja baik pulih gas petroleum cecair (LPG) di pusat beli-belah Mid Valley Megamall, dekat Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Dua letupan berlaku di dua restoran di pusat beli-belah Mid Valley di sini, semalam dipercayai berpunca daripada sistem gas asli cecair (LPG) mengakibatkan lapan orang mengalami kecederaan.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata letupan berlaku di restoran Chili’s Grill & Bar dan McDonald’s kira-kira jam 10 pagi semalam.

“Letupan mengakibatkan enam orang cedera ringan dan dua kontraktor penyelenggaraan Mid Valley cedera di muka,” katanya ketika ditemui pemberita sambil menambah kedua-dua restoran ditutup untuk siasatan.

Beliau berkata kesemua mereka dihantar ke Hospital Pantai di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut. Mengulas lanjut, beliau berkata letupan berpunca daripada aktiviti penyelenggaraan yang dilakukan kontraktor pusat beli-belah itu terhadap saluran penyambungan gas memasak LPG yang dibaik pulih kelmarin.

Dalam pada itu, seorang daripada pekerja restoran Chili’s yang hanya dikenali sebagai Malika, 53, berkata siling di bahagian dapur runtuh sebaik sahaja berlakunya letupan.

“Siling yang jatuh terkena sedikit bahagian kepala, namun saya hanya mengalami luka kecil,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, jurucakap Mid Valley Megamall, IGB Real Estate Investment Trust (IGB REIT) berkata pusat beli-belah itu beroperasi seperti biasa dan dibuka kepada pengunjung.

Pengurus pelaburan Megamall berkata semua sistem LPG yang menyebabkan insiden letupan itu, telah ditutup sehingga menerima arahan selanjutnya.

“Kami bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan,” kata syarikat itu dalam kenyataan di sini semalam.

IGB Reit berkata mangsa yang cedera membabitkan pekerja penyelenggaraan syarikat itu, kontraktor LPG dan kakitangan penyewa, dan insiden itu juga tidak membabitkan kecederaan kepada orang awam.

Syarikat itu berkata keselamatan kekal menjadi keutamaan mereka.

“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul,” katanya. — Bernama