Ketua kaum harus amanah, telus, dedikasi dan tidak pilih kasih

0

SELANGAU: Ketua kaum dilantik harus menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah, telus dan dedikasi serta tidak bersikap pilih kasih dalam memberi khidmat terbaik kepada penduduk rumah panjang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun berkata, sebagai pemimpin di peringkat akar umbi, mereka harus sentiasa aktif serta menyokong dasar pembangunan kerajaan.

“Berbanding situasi dahulunya, tuai rumah kini menerima gaji bulanan sebanyak RM800, begitu juga penghulu yang menerima gaji bulanan RM1,000 dan pemanca RM1,200.

“Mereka perlu menjalankan tanggungjawab secara telus dan dedikasi dan jangan sesekali bersikap pilih kasih untuk permohonan bantuan penduduk yang layak.

“Dengan memiliki ciri tersebut, saya yakin rumah panjang di bawah pentadbiran mereka akan maju dan membangun serta memberi manfaat kepada penduduk rumah panjang,” katanya.

Entulu berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Sijil Lantikan/Lanjutan Ketua Kaum, Bantuan Wang Ihsan Mangsa Banjir 2015 dan Baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) Peringkat Daerah Selangau di Rumah Peterson Jawa, Selangau, semalam.

Seramai 121 penerima Sijil Lantikan/Lanjutan Ketua Kaum, 45 orang penerima Bantuan Wang Ihsan Mangsa Banjir 2015 dan 95 penerima BR1M bagi kelompok 1 daerah Selangau.

Entulu yang juga Ahli Parlimen Selangau berkata, Parlimen Selangau telah menerima peruntukan sebanyak RM7.5 juta untuk melaksanakan program pembangunan di kawasan Selangau iaitu DUN Tamin dan Kakus untuk tahun ini.

“Peruntukan itu termasuk RM5 juta untuk Projek Mesra Rakyat (PMR). Program pembangunan dilaksanakan untuk memastikan penduduk di luar bandar tidak ketinggalan menikmati pembangunan yang telah direncanakan kerajaan Barisan Nasional (BN),” tegasnya.

Justeru, Entulu menasihati rakyat agar lebih memahami dasar dilaksanakan kerajaan supaya tidak mudah terpengaruh dengan pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan dakyah palsu sekali gus merugikan mereka.

Ujarnya, kerajaan akan sentiasa memastikan rakyat negeri ini khususnya di kawasan Parlimen Selangau turut sama menikmati pembangunan yang dilaksanakan kerajaan dan akan sentiasa bersama rakyat serta mendengar masalah rakyat.

“Setiap projek kerajaan dilaksana secara berperingkat-peringkat mengikut keutamaan dan keperluan. Justeru, rakyat harus memahaminya dan memanfaatkan setiap pelaksanaan projek kerajaan dengan sebaik-baiknya,” jelasnya.

Pada majlis sama, Entulu mengumumkan peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) sebanyak RM36,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Peterson Jawa dan RM4,000 untuk Biro Wanita Rumah Peterson, Mauh turut menyampaikan MRP sebanyak RM10,000 kepada JKKK Rumah Peterson.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Datuk Joseph Mauh Ikeh, Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri Adriana Chumang Nyambong, Setiausaha Politik Ketua Menteri Dr Richard Will Uban, Residen Bahagian Sibu Hii Chang Kee, Pegawai Daerah Selangau Christopher Ranggau Unting, Pemanca Robert Nanta, Penghulu Balai Gara, Penghulu Boniface Siew, Penghulu Juranpang Ratoh, Penghulu Michael Jalani dan Penghulu Thomas Jawa.