Produk Sarapeg, penanda sempadan tanah dilancar

0

Ia merupakan rekaan kumpulan Millenium Sabe daripada JTS, telah dibangunkan Weida (M) Berhad

// Oleh Henrietta Liza //

CIPTAAN TEMPATAN: Lee (dua kiri) menyerahkan seunit Sarapeg kepada Morshidi (tengah) sambil diperhatikan dif-dif kehormat yang lain di Kuching, semalam.

CIPTAAN TEMPATAN: Lee (dua kiri) menyerahkan seunit Sarapeg kepada Morshidi (tengah) sambil diperhatikan dif-dif kehormat yang lain di Kuching, semalam.

KUCHING:Kerajaan negeri semalam melancarkan produk pertama ciptaan Kumpulan Kreatif dan Inovatif (KIK) Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak untuk menandakan persempadanan tanah di negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata ia merupakan rekaan kumpulan Millenium Sabe jabatan tersebut yang telah dibangunkan penghasilannya oleh Weida (M) Berhad.

“Produk pertama Sarapeg ini akan dihasilkan pengeluarannya sebanyak 125,000 unit untuk setiap tahun dalam tempoh lima tahun.

“Ia selamat digunakan kerana mesra alam sekitar, tahan lasak dan kerajaan berupaya menyelamatkan 700 kayu pokok belian setahun yang dijual pada harga RM12.80 sebatang.

“Sarapeg diguna dalam menanda tanah di setiap muka bumi yang terdapat di negeri ini,” katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Sarapeg oleh Weida (M) Bhd kepada kerajaan negeri di sini, semalam.

Beliau semalam memuji usaha JTS dan menambah minda yang kreatif datangnya daripada inovasi yang banyak.

Sarawak katanya, menyediakan perkhidmatan jabatan awam yang terbaik dalam negara dan sejak KIK diperkenalkan pada 2009 pihaknya mempunyai 300 pasukan KIK yang bertanggungjawab terhadap 407 projek di seluruh negeri.

Setiap projek KIK jabatan awam tegas Morshidi, banyak membantu dalam mempercepatkan pengurusan kerja selain menjimatkan kos.

Sementara itu, menurut Pengarah Urusan Kumpulan Weida (M) Bhd Datuk Lee Choon Chin, Sarapeg telah dipatenkan di negara-negara seperti Thailand, Brunei, China, New Zealand, Australia, Vietnam dan Indonesia.

Kumpulan Milenium Sabe juga telah mendapat pengiktirafan antarabangsa bagi usaha KIK mereka dari negara Taiwan, Jepun dan Singapura.

Timbalan Pengarah JTS Ibrahim Lumpu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Misnu Taha dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Keselamatan Pentadbiran dan Hal Ehwal Korporat) Datu Ose Murang turut hadir pada majlis tersebut.