RTC Betong beri manfaat kepada penduduk luar bandar

0
PANTAU: Jabu sebelum mempengerusikan Mesyuarat Persiapan Pembukaan Rasmi RTC Betong sempat melawat kawasan sekitar bangunan yang sedang giat disiapkan.

PANTAU: Jabu sebelum mempengerusikan Mesyuarat Persiapan Pembukaan Rasmi RTC Betong sempat melawat kawasan sekitar bangunan yang sedang giat disiapkan.

BETONG: Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang memberitahu bahawa pembukaan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Betong bakal memberi kemudahan dan manfaat kepada penduduk luar bandar melibatkan perkhidmatan agensi kerajaan.

Menurutnya, RTC Betong yang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 17 April nanti merupakan RTC kedua di negeri ini selepas Bekenu.

“Ia merupakan hasil usaha kerajaan negeri dan kerajaan pusat berkonsepkan satu hentian pelbagai perkhidmatan termasuk menyediakan banyak perkhidmatan di bawah kaunter agensi utama melibatkan Majlis Daerah Betong (MDB), Jabatan Imigresen, Klinik Pergigian, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Betong, Borneo Mart, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Bank Rakyat dan Agrobank,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Persiapan Pembukaan Rasmi RTC Betong dekat sini, kelmarin.

Katanya, sementara itu  di bawah kaunter pelbagai agensi pula turut melibatkan agensi seperti MDB, Pejabat Residen Bahagian Betong, Pejabat Daerah Betong, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Betong, Jabatan Pertanian Bahagian Betong, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Betong, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Betong, Lembaga Lada Malaysia (MPB) Cawangan Betong, Pejabat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Getah (RISDA) Bahagian Betong dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Betong,” katanya.

Tambahnya, selain RTC Bekenu dan Betong, terdapat juga Pusat Transformasi Bandar (UTC) diwujudkan di bandar utama seperti di Kuching, Miri dan Sibu.

“Dibina di lokasi yang begitu strategik, terletak di kawasan berhampiran Lebuh Raya Pan Borneo, RTC Betong yang menelan kos RM8 juta dijangka siap sepenuhnya 7 April ini.

“Lokasinya amat strategik kerana di sekitarnya terdapat kawasan hentian rehat, stesen minyak, sekolah dan pelbagai lagi.

“Ini membuktikan keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam memastikan kemudahan untuk rakyat disediakan dengan lebih sempurna dan memudahkan urusan harian mereka.

“Pada masa sama saya berterima kasih kepada kerajaan yang mempunyai pendekatan begitu baik dan tersusun, munasabah dalam meringankan beban rakyat secara keseluruhannya di bandar, lebih-lebih lagi di luar bandar,” ujarnya.