Ooi, Teo dilarang masuk, Chong dakwa salah guna autonomi

0

KUCHING: Ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP) Selangor, Ooi Leng Hang merupakan ahli pembangkang terbaharu yang dilarang masuk ke Sarawak dalam tempoh kurang daripada 24 jam Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching dihantar pulang ke Semenanjung Malaysia.

Ooi, yang merupakan pereka maskot pilihan raya DAP, ditahan di pejabat imigresen sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada jam 9.30 pagi semalam dan dijadual menaiki penerbangan balik kira-kira jam 8 malam.

Manakala, Teo dihantar pulang ke Kuala Lumpur malam kelmarin sejurus selepas tiba di Lapangan Terbang Bintulu pada jam 7.45 petang, hari yang sama.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen melahirkan rasa kesal dan mendakwa tindakan itu sebagai ‘penyalahgunaan autonomi imigresen’ oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

“Autonomi imigresen Sarawak adalah untuk melindungi warga Sarawak, bukan untuk kepentingan Barisan Nasional (BN) Sarawak.

“Tindakan kerajaan negeri menghalang kemasukan ahli biasa DAP (Ooi) tidak masuk akal dan ia memberi gambaran betapa gerunnya mereka terhadap DAP,” katanya.

Kerajaan negeri, katanya, tidak boleh mengamalkan dwistandard sekiranya berpegang kepada pendirian menghalang kemasukan pelampau agama atau kaum ke Sarawak.

Untuk itu, katanya, pemimpin-pemimpin dari parti UMNO termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri juga wajar dihalang masuk ke Sarawak kerana mendakwa parti itu berunsur perkauman.

Chong yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching berkata, punca individu-individu terbabit dihalang masuk juga tidak didedahkan.

“Kita menyokong jika pelampau agama dan perkauman dihalang masuk ke Sarawak, tetapi ini jelas merupakan penyalahgunaan kuasa bagi meningkatkan peluang BN menang dalam pilihan raya,” katanya.

Selain Ooi dan Teo, individu lain yang dihalang masuk ke Sarawak ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Phua, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu atau Mat Sabu dan aktivis Ambiga Sreenevasan.

Ditanya sama ada larangan masuk terhadap ahli serta pemimpin pembangkang akan menjejaskan DAP Negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, Chong berkata:

“Itulah tujuan utama (larangan ke Sarawak dibuat) bagi menjejaskan kempen (PRN) kita dan untuk itu, kita perlu memanfaatkan sepenuhnya apa yang kita ada,” katanya.