Oleh Kepu Sidi//

TIBA: Len hadir pada Majlis Pemimpin Bersama Ketua Jabatan Persekutuan dan Wisma Negeri di Bilik Mesyuarat Guna Sama Persekutuan di Sarikei petang kelmarin.
SARIKEI: Penjawat awam perlu mengambil langkah berani mentransformasikan sektor awam bagi memperolehi mutu yang memuaskan dan berproduktiviti tinggi.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datu Len Talif Salleh berkata negara tidak mampu mencapai kejayaan sekiranya penjawat awam tidak melakukan usaha secara berterusan.
“Kakitangan kerajaan harus meningkatkan sistem penyampaian dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada anggota masyarakat.
“Sebagai individu berpengalaman dan terlatih mereka perlu menjadi penyampai maklumat tepat dan bukannya menambah kekeliruan terutama ketika rakyat memerlukan penjelasan.
“Kakitangan sektor awam perlu melakukan transformasi bagi menjayakan agenda kerajaan dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri di sini, petang kelmarin.
Menurutnya, program seumpama itu penting sejajar dengan status Sarawak sebagai negeri pertama melaksanakan program transformasi perkhidmatan sektor berkenaan.
Katanya inisiatif itu bukan hanya bertujuan meningkatkan imej sektor awam tetapi membantu kerajaan menjadikan Sarawak sebagai negeri maju pada masa depan.
“Penganjuran aktiviti melibatkan jabatan dan kakitangan kerajaan adalah satu medium amat baik untuk golongan ini mendekatkan diri dengan masyarakat.
“Itulah peluang terbaik kepada rakyat mendapatkan maklumat tepat tentang perkhidmatan disediakan agensi tertentu.
“Dalam erti kata lain, pelaksanaan program ini menuntut kakitangan awam lebih komited dan berdaya maju,” katanya.
Pada majlis itu, Len turut mengumumkan sumbangan RM10,000 kepada Jawatankuasa Penyelaras Penyelenggaraan Bangunan Guna Sama Persekutuan Bahagian Sarikei.
Turut hadir Residen Bahagian Sarikei Dr Anthony Valentine Laiseh, Pegawai Daerah Sarikei Khalid Andong, Pegawai Penerangan Sarikei Mohd Shahrizan Putit, Pegawai JASA Sarikei Ahmat Adai dan pengerusi penganjur Ali Hassan.