Monday, May 27

PRN 11: Pengundian 7 Mei, penamaan calon 25 April

0

IMG-20160414-WA0025Oleh Saibi Gi dan Jessica Jawing//

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi ruang 12 hari untuk berkempen apabila menetapkan 7 Mei 2016 sebagai tarikh mengundi dan 25 April ini untuk penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 (PRN11).

Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, tarikh mengundi awal pula ditetapkan pada 3 Mei 2016 susulan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan pada 11 April lepas.

PRN11 yang bakal menyaksikan 82 kerusi dipertandingkan berbanding 71 kerusi semasa PRN10 pada 2011, menurutnya akan menggunakan Daftar Pemilih Induk 2015, dikemas kini setakat 10 April 2016 yang mengandungi 1,138,650 orang pemilih berdaftar.

Daripada jumlah itu, 25,022 orang merupakan Pemilih Tidak Hadir terdiri daripada tentera dan pasangan serta polis dan pasangan, manakala 106 orang Pemilih Tidak Hadir luar negara (pengundi pos).

Berdasarkan jumlah keseluruhan pengundi, seramai 131,881 orang pemilih atau 11.58 peratus merupakan golongan berumur antara 21 dan 29 tahun; 237,063 orang (20.82 peratus) berusia antara 30-39 tahun; 269,163 orang (23.64 peratus) berumur antara 40 dan 49 tahun; 240,967 orang (21.16 peratus) berumur antara 50 dan 59 tahun; 154,622 orang (13.58 peratus) antara 60 dan 69 tahun; 71,310 orang (6.26 peratus) antara 70 dan 79 tahun; 25,967 orang (2.28 peratus) berusia antara 80 dan 89 tahun; dan 7,677 orang (0.67 peratus) berusia 90 tahun dan ke atas.

Menurutnya, SPR dianggar akan membelanja RM135.6 juta dengan membabitkan 20,811 orang petugas pada pilihan raya kali ini.

Mengenai pemilihan tarikh pilihan raya, Hashim menegaskan keputusan pihaknya tidak dipengaruhi sesiapa, terutama Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

“Tarikh penamaan ini bukan cadangan (Ketua Menteri) ia diputuskan mesyuarat pada pagi ini (semalam) dan jika ada tarikh yang dinyatakan sebelum ini sekadar analisis sahaja iaitu ramalan berdasarkan petunjuk sahaja.

“SPR menetapkan tarikh ini dengan melihat pelbagai aspek, termasuk penggunaan premis yang melibatkan sekolah selain hari cuti atau penting kepada Sarawak agar ia tidak bertindih.

“SPR sedaya upaya mengelak tarikh berkenaan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat yang turut dihadiri Pengarah Pejabat Pilihan Raya Negeri Datu Takun Sunggah di sini.

Pada Januari lepas, Adenan mengesyorkan agar SPR mengadakan pilihan raya pada 30 April, manakala 18 April untuk penamaan calon.

Ketua Menteri mengumumkan tarikh pembubaran DUN pada 31 Mac lalu selepas dipersetujui Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada hari yang sama.

Speaker DUN Sarawak Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar pula sebaik menerima notis pembubaran itu telah menghantar notis kepada SPR pada 1 April.

Memberitahu lanjut mengenai perincian perjalanan PRN11, Hashim berkata sebanyak 1,879 buah premis akan digunakan sebagai pusat mengundi yang mengandungi kesemuanya 2,959 saluran atau tempat mengundi.

“Bagi tujuan menjalankan pilihan raya juga, SPR telah bersetuju untuk melantik 82 orang Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi menjalankan pilihan raya di 82 kerusi DUN.

“Sementara untuk tujuan memantau semua aktiviti berkempen (sepanjang 12 hari), SPR juga bersetuju menubuhkan Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memantau aktiviti pilihan raya,” katanya.

SPR juga telah melantik 62 orang pemerhati daripada persatuan-persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sepanjang PRN 11, jelasnya.

Bagi Zon Kuching, ia membabitkan Persatuan Kebangsaan Orang Ulu, Persatuan Dayak Bidayuh Kebangsaan, Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak dan Persatuan Kumpulan Sukarelawan Inovatif.

Zon Sibu terdiri daripada Dewan Perniagaan dan Industri Cina Sibu dan Persatuan Melanau Sibu, manakala Zon Miri membabitkan Persatuan Cina Miri, Persatuan Dayak Miri dan Gabungan Persatuan Orang Ulu Sarawak.

Beliau berkata lagi, daftar pemilih akan mula dijual pada 22 April.

Sehubungan itu, para pengundi dalam bahagian pilihan raya berkenaan boleh membuat semakan daftar pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi dan saluran mengundi mereka melalui laman sesawang www.spr.gov.my.

Selain itu, pengundi boleh menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPR <jarak> SEMAK <jarak> no kad pengenalan dan hantar kepada 15888 mulai 22 April.

Malah, mereka boleh menghubungi Ibu Pejabat SPR di Putrajaya menerusi talian 03-88927000 dan pejabat SPR negeri 082-254233 atau 082-254867.