Ceramah umum pertama PKR hambar

0

KUCHING: Ceramah umum pertama Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) menerima sambutan hambar daripada warga kota terutama pengundi di kawasan Petra Jaya.

Malah, rata-rata daripada mereka yang hadir pada ceramah di pekarangan blok komersial Gita malam kelmarin dikecewakan oleh pihak penganjur apabila kelibat Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak kelihatan seperti dijanjikan.

Penganjur, Pejabat Keadilan Cabang Petra Jaya sebelum ini turut menggunakan nama Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai antara penceramah yang akan hadir bagi menarik kehadiran orang ramai.

Calon PKR Tupong, Nurhanim Hanna Mokhsen antara yang menyampaikan ceramah pada malam itu selain rakan calon bagi kerusi Satok, Mohamed Salleh Shawkatali dan calon Pantai Damai, Morni Samsudin.

Salleh dalam ceramahnya mengibaratkan dirinya sebagai semut merah berbanding calon Barisan Nasional (BN) dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Meskipun demikian, Ketua Angkatan Muda Keadilan Petra Jaya itu tampak begitu lantang bersuara dan mengajak anak-anak muda di Petra Jaya khasnya pengundi Satok untuk berjuang bersamanya.

Sementara itu, calon PKR Pantai Damai, Morni mengajak para pengundi di negeri ini supaya mengundi Pakatan Harapan pada PRN11 sebagai signal bahawa Sarawak bukan lagi deposit tetap kepada kerajaan pusat.

“Setiap kali Pilihan Raya Umum (PRU), kita Sabah dan Sarawak sering dianggap sebagai deposit tetap bagi kerajaan pusat. Maka pada PRN11 kali ini saya mohon anda semua mengundi Pakatan Harapan sebagai signal kepada mereka bahawa kita bukan lagi deposit tetap bagi mereka,” katanya.

Nurhanim pula terus memainkan isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebagai modal untuk beliau mengkritik kerajaan BN di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan ketika ini.

Beliau turut berjanji akan menjadi suara di Tupong jika diangkat sebagai wakil rakyat yang dipilih di kerusi tersebut yang merupakan salah satu daripada kubu kuat BN.

Ceramah yang bermula jam 8.30 malam itu bermula hambar dengan kehadiran kurang daripada 100 tetamu dan berakhir pada jam 10.30 malam tanpa kelibat Azizah mahupun Azmin.

Pada ceramah itu, PKR turut membuka kaunter pendaftaran sukarelawan parti untuk DUN Tupong dan Satok serta kaunter menandatangani ‘Citizen Declaration’ bagi mereka yang berminat.