Politeknik Kota Kinabalu dinobat politeknik terbaik Malaysia

0
TAHINAH: Mary Yap (tiga kiri) menyampaikan wang tunai RM10,000 kepada penerima Anugerah Olahragawan Politeknik Malaysia.

TAHINAH: Mary Yap (tiga kiri) menyampaikan wang tunai RM10,000 kepada penerima Anugerah Olahragawan Politeknik Malaysia.

KOTA KINABALU: Politeknik Kota Kinabalu terus menyerlah apabila dinobatkan sebagai Pemenang Anugerah Khas Politeknik Terbaik sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Sukan Politeknik Malaysia (PolySEA) 2015 yang berlangsung di salah sebuah hotel terkemuka di Kuantan, Pahang kelmarin.

Politeknik Kota Kinabalu dipilih dari kalangan 35 politeknik seluruh Malaysia berdasarkan kecemerlangan institusi itu dalam pembangunan sukan bagi sepanjang tempoh 2011-2015.

Pengarah Politeknik Kota Kinabalu Roslee Yahya dalam kenyataannya berkata, anugerah khas itu adalah atas daya usaha pegawai dan kakitangan Jabatan Sukan, Kebudayaan dan Kokurikulum, Politeknik Kota Kinabalu serta para jurulatih dan atlet yang cemerlang.

“Bagi kategori anugerah khas ini, beberapa kriteria perlu diambil kira sepanjang tempoh penilaian. Antaranya, inisiatif pembangunan fasiliti sukan, pembudayaan sukan dalam kalangan pelajar dan seluruh warga politeknik, pencarian bakat pelajar dalam bidang sukan, penyertaan dan pencapaian atlet, dan sebagainya.

“Alhamdulillah, kita telah memenuhi kesemua kriteria yang ditetapkan dengan cemerlang dan diharap momentum kecemerlangan ini akan berterusan di masa akan datang,” katanya.

Penyampaian hadiah berbentuk piala dan wang tunai RM10,000 telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching.

Terdahulu, Mary dalam ucapan perasmiannya berkata semua politeknik di negara ini perlu memperkasa bidang sukan dalam usaha melahirkan graduan berkualiti dari segi akademik, sahsiah diri dan kokurikulum.

Katanya, usaha itu perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan bidang berkenaan terus diberikan fokus dan keutamaan selain pencapaian akademik.

PolySEA yang dianjurkan sejak 2014 merupakan satu daripada usaha merencana dan merancakkan pembangunan sukan di institusi pendidikan politeknik.

Program anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Majlis Sukan Politeknik itu merupakan anugerah tertinggi yang diberikan kepada atlet institusi berkenaan sebagai penghargaan kepada sumbangan cemerlang yang mereka berikan di dalam pembangunan sukan politeknik dan di pentas kebangsaan.

Bagi tahun 2015, seramai 100 atlet dan pegawai dari politeknik seluruh Malaysia layak dicalonkan untuk meraih sepuluh anugerah yang disediakan.

Anugerah Olahragawan Politeknik Malaysia menjadi milik Mohammad Ridzwan Azmi dari Politeknik Ibrahim Sultan, Johor Baharu, manakala Nur Ira Fazierah John dari Politeknik Ungku Omar, Perak dinobatkan sebagai Olahragawati Politeknik Malaysia.

Turut hadir pada majlis itu, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik Datuk Mohlis Jaafar serta para pengarah dan pegawai kanan politeknik seluruh Malaysia.