Dapat fakta betul berkaitan syarat jadi calon sebelum kemuka bantahan

0

KUCHING: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) perlu mendapatkan fakta yang betul serta sahih berkaitan syarat dan peraturan menjadi calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum mengemukakan bantahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Perkara tersebut merujuk kepada bantahan yang dikemukakan kepada calon Barisan Nasional-Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (BN-PBB) bagi kerusi DUN Samariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali pada hari penamaan calon kelmarin (Isnin) oleh calon PAS Yusof Assiddiqqi Ahmad Sharkawi.

Hasidah ketika dihubungi semalam memberitahu, parti itu tidak seharusnya mengambil jalan mudah dengan bermain taktik seumpama itu.

“Sebaliknya, PAS sepatutnya memeriksa terlebih dahulu syarat kelayakan dan peraturan untuk menjadi calon dan tidak hanya bermain dengan taktik mereka,” katanya.

Difahamkan, Yusof dalam bantahannya mengatakan Hasidah tidak layak menjadi calon kerana pada dasarnya Hasidah masih memegang jawatan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri yang mana ia merupakan jawatan bergaji.

Menurut Yusof, untuk menjadi calon seseorang individu itu mestilah tidak memiliki sebarang jawatan bergaji.

Bagaimanapun, bantahan itu ditolak oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Jumaini Haili sekali gus mengumumkan kerusi DUN Samariang bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Hasidah (BN-PBB), Yusof (PAS) dan Nani Sahari yang mewakili Parti Amanah Negara (Amanah) pada PRN11 yang berlangsung 7 Mei depan.

Tambah Hasidah, SPR telah membuat keputusan yang betul dan pada masa kini, justeru beliau hanya mahu menumpukan fokus untuk melakukan yang terbaik untuk penduduk di konstituensi tersebut.

“Insiden itu telah berakhir dan telah diselesaikan dan kita tidak seharusnya bermain dengan isu tersebut.

“Saya akan meneruskan usaha mendampingi dan berjuang untuk penduduk Samariang,” katanya.

Hasidah merupakan penyandang BN yang berjuang untuk memenangi PRN11 bagi mengekalkan jawatan ADUN Samariang untuk penggal ketiga.

Sementara itu, Jumaini yang turut dihubungi memaklumkan, syarat berhubung jawatan berpendapatan bermaksud jawatan yang dilantik di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan (SPA).

“Bagi calon BN-PBB (Hasidah), jawatannya sebagai Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri adalah dilantik oleh PBB dan ia berstatus kontrak,” jelasnya.

Maka itu, beliau menegaskan bahawa Samariang akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru pada PRN kali ini antara Hasidah, Yusof dan Nani.