Ibu bapa harus pantau aktiviti anak di luar rumah

0

SRI AMAN: Timbalan Menteri Dalam Negeri Masir Kujat menasihati ibu bapa agar membantu pihak sekolah memantau perkembangan dan aktiviti anak di luar rumah.

Beliau berkata, amat penting anak tidak terpengaruh aktiviti kurang sihat di luar rumah hingga boleh mengganggu-gugat perkembangan hidup anak apabila dewasa kelak.

Jelasnya, antara gejala sosial kurang sihat sedang berlaku sekarang ialah gengsterisme, penagihan dadah, mencuri, seks luar nikah dan sebagainya, tambahnya.

“Jadi ibu bapa perlu memainkan peranan penting berhubung perkara ini dan cegah penglibatan mereka dalam aktiviti kurang sihat terutama penagihan dadah sebelum ia menjadi satu barah dalam komuniti,” katanya.

Masir juga Ahli Parlimen Sri Aman berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sarawak Sejahtera Rakyat Bahagia anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Rumah Lutang Gamang, Sengelau, Jalai Paip, Sri Aman, di sini, baru-baru ini.

Selain itu beliau memohon ibu bapa membantu sekolah melahir golongan modal insan berkualiti demi mengisi keperluan tenaga kerja profesional negara pada masa akan datang.

“Berilah pendidikan terbaik untuk anak dan sedia kemudahan pendidikan terbaik untuk anak di rumah agar pencapaian akademik mereka dipertingkat dari semasa ke semasa,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Datuk Francis Harden Hollis, Setiausaha Sulit Kanannya Whelton Lumpoi, Setiausaha Sulitnya Bobby Kinyan, Pemangku Ketua Pengarah AADK Malaysia Azizan Ariffin, Pegawai Imigresen Kanan Nelson Naga Alam, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Pada majlis itu turut diadakan upacara penyerahan cek peruntukan kerajaan, penyerahan kerusi roda, memotong kek majlis dan menandatangani Deklarsi Sri Aman Bebas Dadah.