Pembangunan modal insan jadi tumpuan Fazzrudin

0

// Oleh Saibi Gi //

POHON RESTU: Perjuangan politik Fazzrudin mendapat sokongan penuh ahli keluarganya.

POHON RESTU: Perjuangan politik Fazzrudin mendapat sokongan penuh ahli keluarganya.

SEDIA BERKHIDMAT: Fazzrudin dipilih sebagai calon BN bagi kerusi DUN Tupong pada PRN Ke-11 ini.

SEDIA BERKHIDMAT: Fazzrudin dipilih sebagai calon BN bagi kerusi DUN Tupong pada PRN Ke-11 ini.

FAZZRUDIN Abdul Rahman diperkenalkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada satu majlis di Lundu sebagai calon mewakili Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong pada 26 Mac, 2016.

Nama bekas Setiausaha Politik Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof itu memang telah lama diuar-uarkan akan menggantikan penyandang, Datuk Daud Abdul Rahman.

Dengan jawatan yang memerlukannya berjumpa dengan penduduk sekitar kawasan Parlimen Petra Jaya, beliau memang sudah dikenali ramai di kalangan masyarakat DUN Tupong.

Ketua Penerangan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu merupakan antara muka baharu daripada kalangan calon-calon diketengahkan Adenan dalam pasukannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-11 ini.

Mula berjinak-jinak dengan dunia politik pada 2001 apabila diajak Fadillah yang pada ketika itu sebagai Ketua Pemuda PBB Tupong dan mengikut aktiviti politik Daud, beliau menjelaskan pembangunan modal insan merupakan antara tumpuan utama perjuangan politiknya.

“Saya akan meneruskan usaha pembangunan YB Daud sebelum ini dan meningkatkan pembangunan modal insan kerana saya terlibat dalam Biro Pendidikan Petra Jaya sebagai pengarah.

“Biro ini berperanan memberi penekanan dalam pembangunan pendidikan di kalangan penduduk di DUN Tupong,” jelasnya.

Antara aktiviti biro itu ialah menganjurkan Pertandingan Pendekar Matematik – satu cara untuk menerapkan minat terhadap matapelajaran Matematik di kalangan anak-anak.

Biro berkenaan juga menganjurkan bengkel guru-guru Matematik dan Sains yang membabitkan guru-guru pakar Matematik dan Sains dari Johor untuk melatih guruguru di sekolah-sekolah cara berkesan mengajar.

Harapan bapa kepada tiga orang anak itu ialah untuk menyaksikan pembangunan dari segala aspek di kawasan tersebut terus dilaksanakan menerusi keprihatinan parti pemerintah.

“Saya bernasib baik apabila Datuk Daud ‘mewariskan’ kawasan yang dipimpin begitu baik. Sudah pasti para penduduknya yakin dengan keupayaan BN meneruskan pembangunan ke tahap lebih tinggi,” jelasnya.

Politik menurutnya merupakan cara pilihan baginya untuk membantu masyarakat menaik taraf kehidupan.

Bukan tidak ada cara lain, tetapi beliau mempunyai minat dengan politik dan mengembangkan minatnya untuk mendekati masyarakat.

Fazzrudin yang juga merupakan timbalan presiden Rumpun Silat Sarawak (RSS) dan naib presiden Persatuan Bola sepak Bahagian Kuching bertembung dengan pesaing tunggalnya daripada PKR Nurhamin Mokhsen.

Mengenai isu jenayah di kawasan yang mempunyai 21,499 orang pengundi itu beliau menjawab rekod polis menunjukkan ia mengalami penurunan 13 peratus.

Pada 2015 bilangan jenayah dilaporkan ialah 7,204 kes berbanding 8,284 kes pada tahun sebelumnya.

Menurutnya, apa yang meningkat ialah jenayah seperti pecah kereta, kecurian kenderaan dan samun berkawan.

“Walaupun kes jenayah turun tetapi kita terus mengambil langkah-langkah pencegahan seperti bekerjasama dengan polis, meneruskan Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan programprogram lain bertujuan merapatkan hubungan kemasyarakatan,” jelasnya.

Menyentuh kesesakan lalu lintas di kawasan Matang, beliau menerangkan usaha berterusan kerajaan menambah baik jaringan jalan raya sudah menunjukkan hasil positif.

Pelaksanaan projek pembinaan jalan raya menghubungkan Matang Jaya dari bulatan Emart ke Sungai Maong akan menyediakan laluan alternatif ke kawasan Batu Kawah dari Matang Jaya.

Malah pembinaan laluan bawah tanah di Bulatan Abang Kipali Abang Akip dijangka akan melancarkan pergerakan kenderaan dari Matang Jaya ke Satok atau sebaliknya.

“Sudah pasti pembangunan yang kita kecapi sekarang disertai dengan isu seperti kesesakan lalu lintas, tetapi usaha kerajaan untuk mengatasinya tetap ada,” ujarnya.

BERBUDI BAHASA: Fazzrudin amat menghormati dan menghargai golongan warga emas.

BERBUDI BAHASA: Fazzrudin amat menghormati dan menghargai golongan warga emas.