KPN sahkan khidmat pengiring trafik Tun Dr M ditarik balik

0
TERIMA PINGAT: Khalid (tiga kanan) dan para anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menerima Pingat Kedaulatan Negara di Ibu Pejabat PGA Kinarut di Kota Kinabalu, semalam. — Gambar Bernama

TERIMA PINGAT: Khalid (tiga kanan) dan para anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menerima Pingat Kedaulatan Negara di Ibu Pejabat PGA Kinarut di Kota Kinabalu, semalam. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam mengesahkan bahawa khidmat pengiring trafik ke atas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah ditarik balik sejak minggu lepas.

Beliau berkata, bagai-manapun khidmat pengawal pengiring iaitu pegawai polis dari Unit Tindakan Khas bagi Dr Mahathir masih diteruskan.

“Cuma khidmat pengiring trafik yang telah dihentikan dan kita tidak pernah mahu menarik balik khidmat pengawal pengiring atau ‘Bodyguard’ Tun M … jadi keselamatan beliau sentiasa lagi dikawal oleh pegawai polis,” katanya kepada pemberita selepas majlis penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara (PKN), di sini semalam.

Beliau menjelaskan penarikan khidmat pengiring trafik itu dibuat ekoran tindakan Dr Mahathir yang menyertai perhimpunan haram BERSIH, perhimpunan bantah GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) dan mengutip tandatangan untuk deklarasi diusahakan bekas perdana menteri itu yang bercanggah dengan peruntukan undang-undang dan perlembagaan negara.

“Saya telah menarik balik khidmat pengiring trafik untuk Tun Mahathir … itu adalah atas keputusan saya sebagai Ketua Polis Negara. Apa guna kita memberi iringan trafik terhadap individu yang melanggar peruntukan undang-undang dan perlembagaan, kita tidak dapat menyokong apa juga perbuatan yang melanggar undang-undang negara.

“Oleh itu saya berharap Tun M faham terhadap kedudukan PDRM (Polis Diraja Malaysia) yang mendukung Rukun Negara. Jadi kalau ada pihak yang melanggar undang-undang, macam mana kita nak sokong,” katanya

Kelmarin Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Khalid akan mengeluarkan kenyataan berhubung khidmat pengiring bermotosikal polis ke atas Dr Mahathir telah dihentikan.

Ahmad Zahid dipetik sebagai berkata beliau me-nyerahkan perkara tersebut kepada Ketua Polis Negara kerana isu berkenaan berkaitan operasi dan bukan dasar Kementerian Dalam Negeri.

Mengulas lanjut, Khalid berkata bagaimanapun Dr Mahathir masih boleh membuat permohonan ke-pada PDRM sekiranya mahu menggunakan pengiring trafik ketika menghadiri sesuatu acara rasmi.

“Sekiranya Tun M mahukan khidmat itu (pengiring trafik), permohonan perlu dikemukakan kepada saya terlebih dahulu dan kita akan beri khidmat iringan trafik jika majlis yang akan beliau hadiri adalah acara rasmi kerajaan serta tidak melibatkan pelanggaran mana-mana peruntukan undang-undang dan perlembagaan,” katanya.

Sehubungan itu, Khalid memberi amaran keras kepada pihak tidak terlatih  yang secara sukarela cuba memberi perkhidmatan pengiring bermotosikal kepada Dr Mahathir.

“Tindakan itu bukan sahaja membahayakan diri mereka, tetapi turut membahayakan orang lain kerana mereka tidak terlatih untuk membuat iringan kepada orang kenamaan dan tindakan itu jelas menyalahi undang-undang,” tegasnya.

Sementara itu, ketika di-tanya mengenai perkembangan kes penculikan empat lelaki tempatan di Pulau Ligitan, Semporna, Sabah pada 1 April lepas, Khalid berkata beliau dimaklumkan keempat-empat mangsa culik itu berada dalam keadaan baik dan selamat.

“Polis sedang menerus-kan usaha untuk pastikan mereka akan berjaya  diselamat. Kami percaya kedudukan mereka (mangsa culik) bergerak dari semasa ke semasa untuk mengelak dikesan,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Empat warga Malaysia Wong Teck Kang, 31; Wong Hung Sing, 34; Wong Teck Chii, 29; dan Johnny Lau Jung Hien, 21, diculik lapan lelaki bersenjata di perairan Semporna, Sabah ketika dalam perjalanan pulang ke Malaysia dari Filipina pada 1 April lepas.

Keempat-empat mangsa dari Sibu itu adalah kru kapal ‘Masfive 6’ yang mengangkut balak dari Malaysia ke Manila, Filipina.

Terdahulu, Khalid me-nyampaikan PKN kepada 200 pegawai dan anggota pasukan daripada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, termasuk Pasukan Gerakan Am, Pasukan Polis Marin dan Unit Udara PDRM.

“Ia adalah penghargaan kerajaan kepada pegawai dan anggota keselamatan yang telah terlibat dalam operasi ‘Ops Daulat’ semasa insiden pecerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari 2013,” katanya. — Bernama