Saturday, August 15

Adenan Satem ‘jenama’ laris Pilihan Raya Negeri Sarawak

0

Oleh Saibi Gi//

POPULAR: Adenan yang amat prihatin terhadap kepentingan rakyat.

POPULAR: Adenan yang amat prihatin terhadap kepentingan rakyat.

ADENAN Satem satu ‘jenama’ popular di pasaran sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-11 yang sukar digugat ‘jenama-jenama’ lain.

Rata-rata rakyat gemar dengan jenama tersebut. Jenama yang mula meningkat popular sebaik sahaja beliau menjadi Ketua Menteri Sarawak kelima sejak dua tahun lebih.

Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem disifatkan warga Sarawak sebagai pemimpin berjiwa rakyat – menerusi tindakan dan prinsipnya.

Hasil kajian Merdeka Center yang terbaharu menunjukkan 81 peratus daripada 815 responden dalam kalangan pengundi Sarawak berpuas hati dengan prestasi Adenan.

Kajian yang dilakukan pada Januari 2016 menunjukkan peratusan itu meningkat berbanding 74 peratus dicatatkan pada April 2015.

Kempen BN turut mempromosikan slogan seperti #TeamAdenan, #TheAdenanWay dan Adenan Fever.

Adenan, juga dipanggil sebagai Tok Nan popular kerana langkah-langkah beraninya.

Antara 53 Prinsip dan Tindakan beliau yang menambat hati rakyat ialah pengurangan tarif elektrik, memansuhkan tol jambatan, tiada GST dikenakan ke atas perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT), memansuhkan cukai tanah, pengurangan kadar cukai pintu antara 10 peratus hingga 100 peratus, menuntut kuasa autonomi seperti termaktub dalam perjanjian berkaitan pembentukan Persekutuan Malaysia, mengisytiharkan lebih banyak tanah komunal untuk menaik taraf kehidupan dan kebajikan rakyat dan kalimah Allah boleh digunakan penganut Kristian.

Prinsip dan Tindakan itu diumumkan beliau dari semasa ke semasa sejak menjadi Ketua Menteri pada 28 Februari 2014.

Populariti Adenan amat sukar digugat oleh DAP, PKR, PAS dan Amanah. Barisan pemimpin parti-parti lawan BN itu terpaksa akur dengan populariti tinggi dan berkempen menggunakan isu seperti kenaikan kos sara hidup susulan pelaksanaan GST oleh kabinet persekutuan yang tidak membabitkan keputusan kerajaan negeri.

Adenan pada sesi bersama media menegaskan bahawa kerajaan negeri sedar kos sara hidup meningkat, tetapi telah berusaha mengurangkan beban dengan memansuhkan tol, menurunkan tarif elektrik dan pelbagai lagi tindakan pemansuhan dan pengurangan pelbagai perkara seperti terkandung dalam 53 Prinsip dan Tindakan.

Daripada 82 kerusi dipertandingkan pada PRN11, BN telah menang dua kerusi pada hari penamaan calon menerusi kemenangan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dr Abdul Rahman Ismail, masing-masing di Bukit Sari dan Bukit Kota.

Tok Nan cuba memenangi hati rakyat atau pengundi Cina pada kali ini. Beliau tidak mengetepikan kawasan majoriti pengundi Cina meskipun jadual kempennya amat padat.

Beliau membantu kempen calon BN Datuk Dr Sim Kui Hian di kerusi Batu Kawah yang diadakan di Kuching City Mall, Jalan Stephen Yong.

Menegaskan beliau adalah ‘Adenan Satem’, kehadiran beliau pada malam 29 April 2016 menarik kira-kira 4,000 pengunjung di kawasan majoriti pengundi Cina itu.

Berulang kali beliau memperkenalkan dirinya sebagai Adenan Satem membuktikan keyakinannya terhadap ‘jenama’ popular yang mungkin boleh menarik sokongan pengundi Cina kembali kepada BN.

Menurutnya dalam ucapan ceramah itu, Adenan Satem membuat keputusan sendiri dalam urusan pentadbiran. Di bawah pentadbirannya, kerajaan negeri menunjukkan komitmen serius dalam mengiktiraf pendidikan Cina.

Pada 2016, kerajaan memberi peruntukan RM5 juta kepada badan pengurusan sekolah-sekolah Cina manakala pada tahun sebelumnya RM4 juta dan pada 2014, RM3 juta.

Kerajaan negeri juga mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dengan menerimanya sebagai syarat kelayakan memohon pinjaman/biasiswa Yayasan Sarawak dan memasuki Perkhidmatan Awam Negeri.

Adenan pada ceramah itu juga membayangkan bahawa Dr Sim yang juga presiden SUPP akan dilantik menjadi menteri dalam kabinet negeri jika menang kerusi itu.

Para penganalisis politik menjangkakan BN berupaya merampas kembali kerusi-kerusi majoriti Cina yang dimenangi DAP dan PKR pada PRN lalu.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial, UNIMAS Profesor Madya Dr Jeniri Amir berkata meskipun sukar untuk membuat ramalan tepat, keadaan semasa memungkinkan BN mampu merampas dua hingga empat kerusi. Bagaimanapun beliau enggan menamakan kerusi dimaksudkan.

Jeniri turut memberitahu bahawa parti-parti lawan BN kali ini juga berasa tertekan dek populariti Adenan yang tinggi di kalangan warga Sarawak.

“Pembangkang memang tertekan. Ini disebabkan faktor jenama Adenan. Malah, setiap gambar calon turut digandingkan dengan Adenan dan ini mempengaruhi pengundi untuk menyokong BN,” ujarnya.

Jenama Adenan tidak kurang hebat popularnya di kalangan warga luar bandar. Adenan beriltizam merancakkan lagi pembangunan di luar bandar.

Kerajaan menambah baik perkhidmatan di kawasan luar bandar dengan mewujudkan bahagian baharu iaitu Serian, yang dahulunya dalam bahagian Samarahan.

Sembilan daerah baharu diwujudkan terdiri daripada Tebedu, Subis, Beluru, Telang Usan, Sebauh, Bukit Mabong, Tanjung Manis, Pusa dan Kabong.

Daerah kecil baharu terdiri daripada Siburan, Bario, Tinjar, Long Bedian, Mulu, Nanga Budu dan Nanga Merit.

Bagi merangsang pembangunan di luar bandar, kerajaan menambah RM1.5 bilion bagi merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar.

Populariti Adenan turut meyakinkan beliau untuk menang pilihan raya ini sekali gus membentuk kerajaan negeri.

Pada sidang media mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 30 Mac lepas, beliau menjelaskan tumpuan utama BN pada pilihan raya ini ialah untuk meraih majoriti besar dalam Dewan Undangan Negeri.

Baru-baru ini pada majlis di rumah panjang di Sungai Durin, dekat Sibu, Adenan begitu yakin BN menang 70 kerusi.

Jenama Adenan Satem akan diketahui atau terbukti tahap popularitinya apabila keputusan PRN11 diumumkan menjelang tengah malam 7 Mei 2016.

Fokusnya ialah sebesar mana kemenangan dapat diraih Adenan menerusi pembentukan ‘Team Adenan’ di semua 82 kawasan ditandingi pada pilihan raya ini.