Jangan putar belit

0

Oleh Siti Aisyah Ramli dan Agnes Tugong//

SIDANG MEDIA: Adenan ketika bercakap pada sidang media di Kuching, semalam.

SIDANG MEDIA: Adenan ketika bercakap pada sidang media di Kuching, semalam.

KUCHING: Pembangkang tidak harus menimbulkan kekeliruan berhubung rundingan kenaikan royalti minyak yang dihentikan sementara berikutan kejatuhan harga minyak dunia.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, apa yang dimaklumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin tidak harus diputar belit sebagai modal politik pembangkang.

“Apa yang sebetulnya dikatakan oleh beliau (Najib) ialah sekarang ini bukan masa yang sesuai untuk bercakap mengenai kenaikan kadar royalti (minyak) melihat kepada harga minyak yang merudum daripada AS$120 setong kepada AS$30 setong ketika ini.

“Tetapi apabila harga (minyak) naik kelak, kita akan mula berunding (kadar kenaikan royalti) lagi. Ini apa yang dikatakan beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bercakap pada sidang akhbar di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) lama di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengingatkan pengundi agar tidak terperdaya dengan taktik kotor parti pembangkang menjelang hari pengundian.

“Kita harus berhati-hati dan menjangka mereka (pembangkang) pasti akan melakukan sesuatu yang melucukan lebih-lebih lagi hari pengundian semakin hampir.

“Ia sama seperti mana yang mereka cuba lakukan pada pilihan raya lalu dengan mengeluarkan propaganda berhubung kehadiran 40,000 Bangladesh turun mengundi.

“Ini semua fitnah, dan kali ini kita jangan lagi terperdaya dengan taktik mereka yang hanya mahu menakutkan rakyat, justeru kita harus bersedia,” katanya.

Sehubungan itu, Adenan turut mengingatkan rakyat di negeri ini agar tidak terperdaya dengan pujuk rayu parti pembangkang menerusi laman sosial seperti Facebook, Twitter dan sebagainya.

Katanya, taktik hasutan seumpama itu taktik biasa yang sering digunakan pembangkang dalam setiap pilihan raya lepas.

Sementara itu, Ketua Menteri percaya sokongan pengundi Cina kepada Barisan Nasional (BN) akan meningkat pada hari pengundian esok.

Menurut Adenan yang juga Pengerusi BN Negeri, meskipun DAP menang dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Negeri lepas, namun beliau percaya keajaiban boleh berlaku.

“Saya dapat melihat perubahan angin sokongan daripada masyarakat Cina kepada BN tetapi sama ada ia mencukupi atau tidak itu saya tidak dapat menyatakan.

“Memang tidak dinafikan DAP menang dengan majoriti besar sebelum ini, tetapi keajaiban boleh berlaku,” katanya.

Tambah Adenan, pilihan kini adalah di tangan pengundi Cina sendiri dan jika mereka mahu diwakili dalam kerajaan maka undilah calon Cina dalam Pasukan Adenan termasuk Dr Sim Kui Hian dan yang lain.

“Dr Sim dan juga Dato Sri Wong Soon Koh merupakan antara individu dari kalangan masyarakat Cina yang layak untuk mewakili mereka dalam kerajaan.

“Jadi, saya berharap mereka (pengundi Cina) akan memilih lebih ramai wakil Cina dalam untuk mewakili mereka dalam kerajaan nanti,” tambahnya.

Ditanya sama ada Dr Sim akan dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Cina jika menang, Adenan berkata perkara ini hanya akan dibincangkan selepas kemenangan nanti.

“Saya tidak bercakap mengenai Timbalan Ketua Menteri Cina sahaja. Datuk Patinggi Tan Sri George Chan dahulu dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri selepas SUPP memenangi 19 kerusi.

“Jadi, biarlah mereka menang dulu baharulah kita membincangkan mengenai perkara,” ujarnya.

Adenan bagaimanapun enggan menyatakan secara tepat mengenai sasaran kerusi Cina yang mampu dirampas kembali oleh BN pada 7 Mei ini.

Tetapi menurut Adenan pasukannya kemungkinan mampu memenangi kembali beberapa kerusi yang dimenangi DAP dengan majoriti tipis.

 

 

TAMAT/Gambar In-house

kch-ub050516-sr-royalti-p1

SIDANG MEDIA: Adenan ketika bercakap pada sidang media di Kuching, semalam.