Bazar Gawai Dayak Kapit mendapat sambutan meriah

0

// Oleh Watt Zacchaeus//

RASMI: Masing (kanan) bersama para kenamaan yang lain semasa perasmian Bazar Gawai Dayak Kapit 2016, baru-baru ini.

RASMI: Masing (kanan) bersama para kenamaan yang lain semasa perasmian Bazar Gawai Dayak Kapit 2016, baru-baru ini.

BAZAR Gawai Dayak Kapit 2016 yang julung kali diadakan di tapak lama Lapangan Terbang Kapit dari 1 Mei hingga 20 Mei telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Ia disertai kira-kira 45 peniaga dengan sebanyak 30 kanopi telah disediakan bagi memeriahkan bazar ini dengan pelbagai jualan dan pameran.

Bazar ini bukan yang pertama di Sarawak kerana bahagian Miri telah memulakan bazar ini pada tahun 2015.

Menteri Kanan merangkap Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing merupakan pencetus idea untuk menganjurkan bazar ini di Kapit selepas melihat kejayaan penganjuran bazar Gawai Dayak di Miri pada tahun lepas.

Justeru, beliau telah mengarahkan Pegawai Daerah Kapit Elvis Didit serta pegawai, ketua masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan bazar ini.

Menurut Elvis, sambutan yang menggalakkan daripada peserta bazar telah membuatkan pihaknya tidak dapat memenuhi semua permintaan tersebut.

“Ini kerana kanopi yang kita sediakan tidak cukup dan tidak mampu menampung jumlah peserta yang terdiri daripada penjaja, peniaga dan sebagainya untuk menyertai bazar ini.

“Bagaimanapun, kita akan menganjurkan bazar ini secara tahunan dan berharap ia dapat dianjurkan dengan skala lebih besar pada tahun depan.

“Disebabkan tahun ini yang pertama kali kita anjurkan, kita tidak mampu menyediakan lebih banyak kanopi,” jelasnya kepada Utusan Borneo di Kapit, baru-baru ini.

Beliau turut memberi jaminan bahawa penganjuran bazar ini pada tahun depan akan dimaklumkan lebih awal bagi memudahkan para peserta mendaftar awal sekali gus menyediakan lebih banyak lagi kanopi.

Sementara itu, perasmian Bazar Gawai Dayak Kapit 2016 pada 1 Mei lalu disempurnakan oleh Masing.

Sempena perasmiannya, satu perarakan khas telah diadakan bermula dari Fort Slyvia menuju ke tapak bazar di tapak lama Lapangan Terbang Kapit.

Ia disertai oleh pelbagai kaum yang merangkumi Iban, Cina dan Melayu khususnya NGO Dayak yang terdiri daripada SDNU, SIDS, OUNA dan DBNA.

Ketika perasmiannya, pelbagai aktiviti telah dirangka untuk memeriahkan bazar ini antaranya pertandingan pua kumbu (1 Mei), pertandingan mencari perumpamaan Iban (2 dan 4 Mei) dan pertandingan mencari teka-teki Iban (3 dan 5 Mei).

Pertandingan karaoke juga turut diadakan bermula pada 6 Mei hingga 8 Mei dan sesiapa yang berminat menyertainya dinasihatkan untuk membawa VCD sendiri.

Pada 9 Mei dan 10 Mei ini, pertandingan mencari perumpamaan Iban diadakan lagi diikuti pertandingan menganyam ketupat, pertandingan membelah buah kelapa (11 Mei) dan pertandingan berpantun (12 Mei).

Antara aktiviti lain diadakan adalah Final Kilauan Emas pada 13 Mei, Final Gawai Kapit Idol (14 Mei), Final Super Locomia (15 Mei), Final Ajat Beraban (16 Mei), pertandingan menganyam ketupat (17 Mei), prebiu Mrs Gawai Kapit (18 Mei), pertandingan Betaboh (19 Mei) dan Final Mrs Gawai Kapit (20 Mei).

Selain itu, turut diadakan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama iaitu sebuah motosikal Modenas serta hadiah-hadiah sagu hati lain.

Tiket cabutan bertuah ini boleh dibeli dengan harga RM10 setiap satu.

Pada bazar itu, banyak jenis makanan tradisional dan minuman dijual sepanjang tempoh ia dijalankan.

Majlis penutupan bazar akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi.

“Kita menjemput serta mengalu-alukan penduduk di sekitar daerah Kapit supaya datang beramai-ramai untuk memeriahkan bazar ini yang padat dengan pelbagai aktiviti,” kata Elvis.