Uggah menangi kerusi Bukit Saban

0

KUCHING: Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang diuar-uarkan dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri menang kerusi DUN Bukit Saban selepas memperolehi majoriti 4,599 undi menewaskan Noel Changgai Bucking (PKR).

Naib presiden kanan PBB itu berjaya meraih 5,524 berbanding Noel yang hanya mendapat 925 undi pada pertandingan satu lawan satu itu.

Uggah, 61,  yang merupakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, pertama kali bertanding di kerusi DUN dan beliau merupakan Ahli Parlimen Betong selama 30 tahun atau tujuh penggal sejak Pilihan Raya Umum 1986.

Sementara itu turut mencatat kemenangan majoriti besar ialah Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem apabila berjaya mempertahankan kerusi Tanjong Datu pada PRN kali ini.

Adenan yang dicabar oleh Jazolkipli Numan (PKR) pada pertandingan satu lawan satu menang majoriti 5,892 undi apabila memperoleh 6,360 undi sekali gus mengekalkan kemenangannya sebagai wakil rakyat untuk penggal ketiga di Tanjung Datu.

Ia juga merupakan kemenangan pertama sebagai Ketua Menteri oleh presiden PBB itu.

Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg turut mengekalkan kemenangan di DUN Satok apabila menewaskan Mohammad Salleh Shawkatali (PKR) dengan majoriti 5,045 apabila meraih 6,854 undi pada pertandingan satu lawan satu sementara Mohd Salleh hanya meraih 1,809 undi.

Abang Johari yang menjadi wakil rakyat di Satok sejak 1981 diikuti Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 1983, 1987, 1991, 1996, 2001, 2006 dan 2011.

Selain itu antara pemimpin parti yang turut menang ialah Presiden PRS Tan Sri Datuk Amar James Masing, turut berjaya mempertahankan kerusi Baleh untuk penggal kelapan.

Masing yang dicabar Agop Linsong (DAP) dalam pertarungan satu lawan satu berjaya meraih 5,272 undi berbanding Agop yang meraih 479 undi dengan menang majoriti 4,793.

Turut membawa kemenangan kepada BN kali ini pemimpin SUPP, apabila Presidennya Datuk Dr Sim Kui Hian yang sebelum ini tewas di DUN Pending pada PRN Ke-10 berjaya mengembalikan Batu Kawah kepada BN selepas menewaskan Christina Chiew (DAP) dan Liu Thian Leong (Bebas).

Dr Sim berjaya menang kerusi berkenaan dengan 6,414  undi menewaskan Chiew yang hanya meraih 4,329 dan Liu 1,109 undi sekali gus Dr Sim menang dengan majoriti 2,085.

Calon langsung BN Tan Sri William Mawan Ikom juga antara pemimpin tertinggi yang melakar kejayaan pada PRN kali ini, apabila kekal mempertahankan kerusi Pakan dengan majoriti 426 apabila meraih 3,999 undi.

Pada pertandingan tiga penjuru, Mawan menewaskan Jawie Jingot (Bebas) yang meraih 3,573 undi sementara Rinda Juliza Alexander (DAP) meraih 285 undi sekali gus menyaksikan mawan mengekalkan kerusi berkenaan untuk penggal ketujuh.