Thursday, May 23

Impian juara kali ke-12

0

Sarawak sasar 80 pingat emas pada temasya Sukan Paralimpiad 2016

// Oleh Rusnan Mustafa //

RASMI: Jamilah dan Fatimah melancarkan logo dan lagu Sukan Paralimpiad Malaysia Ke-18 di Le’ Park, Kuching semalam.

RASMI: Jamilah dan Fatimah melancarkan logo dan lagu Sukan Paralimpiad Malaysia Ke-18 di Le’ Park, Kuching semalam.

KUCHING: Sarawak melancarkan logo dan lagu tema Sukan Paralimpiad Malaysia 2016 yang akan berlangsung di negeri ini pada 5 hingga 12 Ogos nanti.

Pelancaran logo dan lagu itu disempurnakan oleh isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu dan Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Masyarakat (KKWKM) Datuk Fatimah Abdullah di sini semalam.

Fatimah berkata, Sarawak menyasarkan 80 pingat emas pada temasya sukan itu bagi mencatatkan kemenangan buat kali ke-12 berturut-turut.

Beliau memberitahu Sarawak juga mahu mencapai kejayaan sebagai penganjur terbaik temasya Sukan Paralimpiad peringkat kebnagsaan tahun ini.

“Ini sangat kita tekankan dan semangat atlet-atlet paralimpiad kita berkobar-kobar untuk mengharumkan nama Sarawak.

“Jika kita dapat mencapaikan kemenangan ke-12, ia juga satu kemenangan untuk Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang telah banyak memberi sokongan bukan sahaja dari segi kewangan tetapi dari segi moral,” katanya.

Pada masa sama, Fatimah memberitahu seramai 280 atlet termasuk pegawai dijangka menyertai Sukan Paralimpiad Malaysia Ke-18.

“Kali ini atlet-atlet berjaya meraih pingat emas akan diberi insentif sejumlah RM5,000 untuk satu emas, RM750 (satu perak) dan RM500 (satu gangsa),” jelasnya.

Selain itu, seramai 60 sukarelawan masih diperlukan untuk menjayakan sukan tersebut dan pendaftaran masih dibuka dan orang ramai boleh mendapatkan borang pendaftaran di kementeriannya dan jabatan di bawah KKWKM.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Masyarakat Megir Gumberk, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Rosey Yunus dan tetamu lain.