Komuniti Berawan sedia kerjasama dengan Gerawat

0

MIRI: Komuniti Berawan di Baram mengalu-alukan wakil rakyat baharu  mewakili Mulu, Datuk Gerawat Gala dengan hati terbuka dan menyatakan komitmen  untuk menjalin kerjasama dengan kerajaan.

Presiden Persatuan Berawan Sarawak (SBA), Catherine Awing berkata, sebagai kaum minoriti di bawah konstituensi Mulu, kaum Berawan tidak harus berpecah belah sebaliknya bersatu padu untuk kebaikan bersama.

“Kami bersyukur kerana Barisan Nasional (BN) memilih Gerawat mewakili kaum Berawan di Mulu. Sebelum ini kami berdoa agar beliau dipilih dan kini doa makbul,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Sehubungan itu, Catherine menggesa komuniti Berawan agar terus menyokong BN dan bekerjasama dengan kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

Beliau memberitahu, kawasan mereka memerlukan lebih banyak transformasi pembangunan dan hanya BN dapat memenuhi keperluan itu.

Catherine turut berterima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem kerana mewarta semula tanah hak adat Bumiputera (NCR Berawan di Sungai Melinau, Taman Negara Gunung Mulu.

“Tindakan mengembalikan tanah kepada kaum Berawan itu membuktikan beliau seorang pemimpin prihatin dan berjiwa rakyat. Kita percaya beliau akan melakukan perkara sama untuk masyarakat Berawan di Tutoh dan Tinjar,” katanya.