Lebih 50% pinjaman perumahan ditolak

0

Kajian sangkal dakwaan CEO Maybank hanya 20% permohonan untuk tujuan sama ditolak

TIDAK MAMPU: Chew (dua kiri) menjelaskan sesuatu kepada pemberita pada sidang media itu.

TIDAK MAMPU: Chew (dua kiri) menjelaskan sesuatu kepada pemberita pada sidang media itu.

KOTA KINABALU: Kajian oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) mendapati lebih daripada 50 peratus permohonan pinjaman perumahan mampu milik telah ditolak oleh pihak bank.

Timbalan Presiden Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (SHAREDA Chew Sang Hai berkata, dapatan kajian berkenaan sekali gus menyangkal sama sekali kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Maybank Group, Datuk Abdul Farid Alias yang menyatakan hanya 20 peratus permohonan bank untuk tujuan yang sama ditolak.

“Kebanyakan permohonan khususnya daripada golongan muda ditolak disebabkan polisi yang dilaksanakan oleh Bank Negara sangat ketat.

“Kajian oleh REHDA juga menyimpulkan sejumlah 68 peratus responden yang didapati mengatakan lebih daripada 30 peratus unit rumah tidak berjaya dijual pada suku kedua tahun 2015,” katanya kepada pemberita ketika dalam sidang media di sini kelmarin.

Beliau berkata, unit rumah yang gagal dijual itu adalah berharga di antara RM250, 001 sehingga RM500,000.

Sementara harga rumah di antara RM500,001 sehingga RM700,000 turut mengalami sejumlah 24 peratus penolakan daripada bank terhadap para pemohon.

Katanya, ramai dalam kalangan pemaju turut memberikan responS bahawa 30 sehingga 50 peratus daripada unit rumah mereka yang dijual terpaksa dijual balik kerana bank menolak permohonan pinjaman daripada peminjam.

“Pasukan Penyelidik Hartanah SHAREDA turut melaksanakan kajian yang sama berdasarkan projek yang sedang dibangunkan.

“Dapatan kajian menunjukkan rumah yang berharga di antara RM400,000 sehingga RM800,000 berhadapan risiko 42 peratus kegagalan dalam pinjaman bank.

“Sementara harga rumah RM250,000 sehingga RM400,000 pula berhadapan dengan 22 peratus kegagalan dalam pinjaman yang sama. Oleh itu, purata penolakan bank dalam pinjaman perumahan adalah sekitar 30 peratus,” katanya.

Menurutnya, harga rumah yang berharga RM250,000 atau dikategorikan sebagai rumah mampu milik mencatatkan jumlah penolakan pinjaman bank yang tertinggi iaitu 75.30 peratus.

Chew berkata, ramai dalam kalangan pemohon adalah lepasan universiti yang ingin mendapatkan rumah pertama, tetapi telah disenarai hitam kerana gagal membayar pinjaman pendidikan berdasarkan tempoh yang dikenakan.

“Pihak bank selalunya tidak merekodkan jumlah mereka yang ditolak berdasarkan kategori disenarai hitam sebaliknya pihak pemaju mempunyai rekod itu.

“Kini rumah hanya boleh dijual kepada mereka yang mempunyai latar belakang kewangan yang  kukuh sebaliknya mereka yang tidak mampu, gagal dalam permohonan pinjaman itu.

“Pada akhirnya, soal mengenai rumah mampu milik sentiasa wujud kerana tidak ramai dalam kalangan belia kini mampu memiliki sebuah rumah kerana tidak mampu,” katanya.

Beliau berharap pemimpin tertinggi negara, Bank Negara serta pihak pemaju dapat duduk bersama untuk berbincang dan mewujudkan satu fomula terbaik agar tidak membebankan rakyat khususnya golongan muda yang ingin memiliki rumah.